Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tonjol kreativiti melalui karya seni lukisan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Dengan hasrat untuk memberikan peluang kepada para pelajar berlainan upaya pendengaran untuk menonjolkan bakat dan daya kreativiti mereka melalui karya seni lukisan, seramai kira-kira 16 orang pelajar berlainan upaya pendengaran menyertai Bengkel Seni ke-2 yang diadakan di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Bengkel yang dianjurkan oleh Syarikat Hear Better Services itu, dikendalikan oleh Dato Paduka Shofry bin Abdul Ghafor dari Rainforest Gallery.

    Ia dihasratkan memberikan peluang kepada para pelajar untuk menonjolkan daya kreativiti dan fikiran mereka melalui karya seni lukisan di mana ia merupakan salah satu kaedah komunikasi di antara mereka dengan masyarakat sekeliling.

    Bengkel itu mengumpulkan dan menyaksikan penyertaan para peserta berlainan upaya pendengaran daripada pelbagai peringkat dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi untuk sama-sama mengambil bahagian dalam kegiatan riadah, seni serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara mereka. Ia turut disertai orang ramai yang melukis bersama para peserta bengkel berkenaan. Karya-karya seni yang dihasilkan oleh para pelajar dan peserta bengkel itu nanti akan dipamerkan dan dijual semasa acara amal iaitu Pameran Kesedaran Pendengaran yang akan berlangsung di The Mall, Gadong pada 24 hingga 28 Januari ini.

    Dato Paduka Shofry memberikan penerangan dan bimbingan kepada para peserta bengkel seni yang diadakan di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
    Para artis muda menonjolkan bakat karya seni lukisan mereka semasa bengkel seni tersebut.

    Pameran amal anjuran bersama Syarikat Hear Better Services, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan DST itu dihasratkan untuk mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak berlainan upaya pendengaran untuk menaja pembelian alat-alat bantuan pendengaran bagi kanak-kanak berkenaan.

    Menerusi kegiatan amal berkenaan yang memasuki tahun kelima, Hear Better Services telah berjaya untuk menaja dan membeli alat bantuan pendengaran bagi lebih 28 orang kanak-kanak.

    Pameran amal itu nanti bukan sahaja yang menyaksikan penyertaan daripada para usahawan tempatan tetapi ia juga akan menyaksikan pameran karya-karya seni daripada individu berlainan upaya pendengaran di mana karya-karya berkenaan dijual bagi penggemar seni tempatan serta acara permainan amal bagi kanak-kanak yang dikendalikan oleh Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda