Monday, December 23, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tony Spider meninggal dunia

    Bekas pemain bass kumpulan Spider, Tony Iskandar ditemukan meninggal dunia di atas sofa di studio rakaman milik komposer terkenal, Datuk M Nasir di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

    Menurut Pengarah Produksi Luncai Emas, Mohd Khirin Omar atau lebih dikenali sebagai Keon, 57, jasad Allahyarham ditemukan ahli kumpulan Spider, Nafie yang kebetulan singgah di studio untuk mengambil barang.

    “Arwah Tony memang dah tiga tahun menetap di studio, Datuk M Nasir sediakan satu bilik di situ untuk arwah berkarya.

    ”Kebetulan semalam Nafie ada singgah studio sebab nak ambil barang yang tertinggal. Selepas pintu diketuk dan tiada respons, terus dia buka pakai kunci ganti dan menemui arwah sudah tidak bernyawa di atas sofa.

    “Kemudian dia telefon ambulans dan pihak paramedik sahkan Allahyarham dah meninggal dunia lebih kurang empat jam sebelum ditemukan,” katanya ketika dihubungi wartawan.

    Jenazah Tony kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan punca kematian masih lagi dalam siasatan.

    Keon turut berkata, arwah mempunyai sejarah penyakit kencing manis kronik.

    “Arwah menghidap penyakit kencing manis agak teruk. Sekarang pihak Luncai Emas hanya menunggu panggilan daripada hospital untuk tujuan pengebumian dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Baru Sungai Buloh.

    “Kami akan uruskan segalanya memandangkan adik-beradik arwah semua menetap di Johor Bahru,” katanya.

    Allahyarham Tony, 51, pernah mendirikan rumah tangga namun bercerai pada 2010 dan hasil perkahwinan dia tidak dikurniakan cahaya mata. – Agensi

    Tony Iskandar ditemukan meninggal dunia di atas sofa di studio rakaman di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda