Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Top Glove pertimbang buka kilang di Turki

    ISTANBUL, 30 Dis – Top Glove Corporation Bhd, pembuat sarung tangan getah terbesar dunia, sedang mempertimbangkan untuk membuka kilang di Turki yang telah mengimport 70 peratus daripada permintaannya bagi produk berkenaan daripada syarikat itu.

    Pengasasnya, Tan Sri Lim Wee Chai berkata beliau menyuarakan kemungkinan tersebut semasa bertemu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di sini malam tadi.

    Turki merupakan pengimport sarung tangan keempat terbesar dunia selepas Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Brazil.

    Top Glove memiliki operasi merangkumi Malaysia, Thailand, China, AS dan Eropah di samping menguasai 25 peratus bahagian pasaran dunia.

    Syarikat itu mengeksport ke 195 negara bagi memenuhi permintaan dalam segmen penjagaan kesihatan dan bukan penjagaan kesihatan.

    Tan Sri Lim Wee Chai (dua kanan) bersama isterinya ketika menyampaikan sumbangan kepada sukarelawan Tzu Chi baru-baru ini. – Bernama

    Lim bersama Pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan berada di sini bagi misi tiga hari untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria sebagai sukarelawan Yayasan Tzu Chi, bersama 23 sukarelawan lain.

    “Kami serius merancang untuk membuka sebuah kilang di Turki, Ia akan membantu mewujudkan antara 500 dan 1,000 peluang pekerjaan, keutamaan pada fikiran saya adalah peluang untuk menggaji pelarian Syria serta penduduk Turki,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan misi Tzu Chi.

    Operasi di Turki akan memperkukuh kedudukan Top Glove di Eropah.

    Lim, antara tokoh korporat terkemuka di Malaysia, menceritakan pengalamannya sebagai sukarelawan Tzu Chi untuk membawa kegembiraan kepada kehidupan pelarian di sini sejak dua hari lepas.

    “Apabila saya memikirkan mengenai bencana alam dan perang seperti Syria, perang adalah 100 kali lebih buruk kerana rakyat hidup dalam ketakutan dan kemusnahan malah tanpa kemudahan asas selama 365 hari setahun sejak enam tahun lalu,” katanya sambil menahan sebak.

    Tzu Chi menyebar luas mesej kasih sayang dan simpati serta belas ihsan di seluruh dunia menerusi bantuan kemanusiaan kepada mangsa tanpa membezakan warna kulit dan kepercayaan atau agama.

    Beliau berkata menerusi pendidikan dan usaha mulia lain, perbuatan baik akan mengatasi perbuatan buruk, malah dengan wujudnya lebih ramai insan baik sudah pasti orang yang tidak baik akan berkurangan, sekali gus mewujudkan dunia yang lebih baik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda