Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Topi ala koboi masih punyai peminat tersendiri

    BATU PAHAT – Topi kulit ‘ala koboi’ mungkin agak asing pemakaiannya bagi segelintir masyarakat di negara ini namun ia mempunyai peminat dan kelasnya tersendiri.

    Bagi memenuhi permintaan dalam negara, seorang pengusaha menghasilkan topi berkenaan dengan konsep gaya tropika bagi menyesuaikan penggunaannya dengan iklim khatulistiwa.

    Pemilik Mastor Craft & Collection Giman Wakiran, Giman Wakiran, 63, berkata topi berkenaan telah dihasilkan menggunakan kulit lembu berbanding topi di pasaran yang menggunakan bahan lain bagi memberi keselesaan kepada si pemakainya dalam apa-apa jua keadaan cuaca.

    “Ilham rekaan adalah mengikut bentuk songkok dan topi diubah gaya tropika agar ia sesuai dipakai penggemar di negara ini. Selain itu, ada juga rekaan dihasilkan menerusi inspirasi pemakaian topi Belanda oleh pegawai British suatu ketika dulu.

    “Jadi, saya menerapkan dua konsep atau koleksi berlainan iaitu Style of Johor dan Style of Belanda untuk membolehkan peminat memilih,” katanya ketika ditemu bual Bernama di kediamannya di Rengit, baru-baru ini.

    Giman Wakiran menunjukkan antara topi kulit ‘ala koboi’ yang dihasilkannya dengan konsep gaya tropika bagi menyesuaikan penggunaannya dengan iklim khatulistiwa ketika ditemui di kediamannya di Rengit, baru-baru ini. – Bernama

    Mula menghasilkan topi kulit berkenaan pada 2002 secara suka-suka sebelum ia dikomersialkan pada 2014, bapa kepada 15 orang anak itu berkata detik permulaannya berkecimpung dalam perniagaan penghasilan topi selepas melalui pengalaman ‘terbeli’ topi dibuat daripada bahan tidak halal.

    “Dulu, susah… kalau beli dari luar negara, status halalnya diragui dan ada juga topi yang diperbuat daripada kulit burung unta, kanggaru dan sebagainya.

    “Sebaliknya apabila buat sendiri, ia akan lebih selamat, terjamin dan pada masa sama, saya memberikan pilihan yang menarik kepada peminat topi kulit untuk menggayakan rekaan kami tanpa rasa was-was di samping berkualiti tinggi,” katanya sambil menambah koleksi topi kulit buatannya itu telah menjadi perhatian dan pilihan ramai.

    Giman yang juga dikenali sebagai Mastor Tuah berkata berbekalkan kemahiran menjahit dan membuat kraf berkaitan kulit atau kayu, topi kulit dihasilkannya itu telah terjual hampir 10,000 unit sejak 2002 sehingga kini dengan harga ditawarkan bermula dari RM200 hingga RM800 dan ia bergantung kepada gred.

    Selain menghasilkan topi, beliau turut menghasilkan pelbagai aksesori berasaskan kulit seperti tali leher, tali pinggang serta songkok selain sandal dan terompah. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...