PARIS, 19 SEPT – Sebelum melakukan tarian moonwalk yang terkenal buat kali pertama, Michael Jackson (MJ) melemparkan topinya ke tepi pentas. Empat dekad kemudian, topi tersebut akan dilelong di Paris.
Lelongan tersebut dijadualkan berlangsung di Hotel Drouot, Paris pada 26 September depan. Topi fedora hitam tersebut dijangka dilelong dengan harga sekitar AS$64,000 hingga AS$107,000.
Walaupun topi tersebut merupakan objek paling menonjol di antara kira-kira 200 barang memorabilia rock, penganjur Arthur Perault dari galeri Artpeges mengakui bahawa penilaian untuk barang-barang MJ mengalami penurunan akhir-akhir ini disebabkan oleh ‘penjualan barang palsu dan tuduhan terhadapnya.’
MJ telah lama dituduh melakukan penderaan terhadap kanak-kanak, tuduhan yang masih dinafikan oleh waris beliau namun penyanyi tersebut menafikannya sehingga beliau meninggal dunia pada 2009 pada usia 50 tahun.
Raja Pop itu melemparkan topi tersebut ketika menyampaikan lagu hitnya Billie Jean semasa konsert Motown yang disiarkan di televisyen pada 1983, pada kemuncak kemasyhurannya.
Tidak lama selepas itu, MJ mempersembahkan apa yang kemudiannya menjadi gerakan ikoniknya – moonwalk – seolah-olah meluncur ke belakang dengan begitu lancar sambil kelihatan berjalan ke hadapan. – AFP
