Thursday, January 30, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Topi keledar emas purba milik Romania dicuri di Belanda

    BRUSSELS, 28 JAN – Rom dikejutkan dengan kehilangan salah satu warisan budaya paling bernilai, iaitu topi keledar emas Cotofenesti, selepas dicuri dari Muzium Drents di Belanda.

    Topi keledar berusia 2,500 tahun dari tamadun Dacia itu, dianggap sebagai khazanah kebangsaan Romania. Kecurian itu berlaku pada hujung minggu lalu, hanya beberapa hari sebelum pameran enam bulannya berakhir.

    Insiden itu turut melibatkan kecurian tiga gelang emas yang dipamerkan bersama, yang mengejutkan dunia seni dan menghampakan pihak berkuasa Romania yang mempercayai negara tersebut untuk menjamin keselamatan artifak mereka.

    “Ini adalah hari yang sangat kelam bagi kami,” kata pengarah muzium, Harry Tupan.

    Siasatan setakat ini menemui hanya beberapa petunjuk, termasuk sebuah kereta hangus yang ditinggalkan berhampiran muzium, menunjukkan pencuri berusaha menutup jejak mereka.

    Gambar yang disediakan oleh Muzium Drents menunjukkan topi keledar Cotofenesti emas. – AP

    Presiden Romania, Klaus Iohannis, menegaskan bahawa artifak itu mempunyai ‘kepentingan budaya dan sejarah yang luar biasa’ untuk identiti warisan Romania. Beliau menyifatkan kehilangan tersebut sebagai ‘tamparan hebat’ kepada masyarakat dan warisan budaya negara itu.

    Pengarah Muzium Sejarah Kebangsaan Romania, Ernest Oberlander-Tarnoveanu, meluahkan kekecewaannya, mengatakan bahawa insiden sebegini “tidak pernah dibayangkan walaupun dalam mimpi paling buruk”.

    Menteri Kehakiman Romania, Radu Marinescu, menyifatkan kejadian itu sebagai ‘jenayah terhadap negara mereka’ dan menegaskan usaha untuk memulihkan artifak tersebut adalah ‘keutamaan mutlak’.

    Namun, pihak berkuasa bimbang bahawa pencuri mungkin berminat dengan nilai emas artifak itu dan bukan sejarahnya.

    Topi keledar Cotofenesti, yang beratnya hampir satu kilogram, tidak mungkin dijual di pasaran gelap kerana reka bentuknya yang unik. Nilai emasnya sahaja dianggarkan sekitar €85,000 (AS$ $89,000) jauh lebih rendah daripada nilai warisannya yang tidak ternilai. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda