TORONTO, 30 April – Ribuan orang ramai telah berkumpul bagi memberikan penghormatan kepada 10 orang yang terkorban serangan sebuah van di Toronto awal minggu lalu.
Sepuluh lilin dinyalakan bagi memperingati lapan orang wanita dan dua orang lelaki yang dilanggar oleh sebuah van sewa, dipandu oleh Alek Minassian.
Mangsa-mangsa, yang berumur 22 hingga 94 tahun, terkorban apabila suspek memandu di sepanjang laluan pejalan kaki di bahagian utara bandar terbesar Kanada itu. Seramai 16 orang yang lain mengalami kecederaan.
“Sayangi semua, tiada benci,” adalah mesej yang dapat dilihat pada poster dan baju-T yang dipakai orang ramai, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Justin Trudeau.

Gabenor Jeneral Kanada, Julie Payette, mewakili Ratu Elizabeth II, Datuk bandar Toronto, John Tory dan ketua-ketua wilayah kerajaan juga berdiri bersama orang ramai.
“Kesedihan kami dapat dilihat pada mata-mata orang yang tidak dikenali di sebelah kita. Kita semua berdiri teguh bersama,” kata Reverend Alexa Gilmore dari Gereja Windermere United, yang juga menyaksikan beberapa perwakilan dari komuniti agama yang lain menawarkan ucapan masing-masing.
“Toronto telah merasai kesakitan yang dirasai oleh bandar-bandar lain,” yang terjejas dengan serangan kenderaan seperti London, Paris dan Berlin, menurut salah seorang yang hadir. – AFP