Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Torres pacu Barca cipta kemenangan bergaya

    MADRID, 14 MAC – Barcelona meneruskan kebangkitan mereka di La Liga kelmarin dengan membenam Osasuna 4-0 di mana Ferran Torres dan Pierre-Emerick Aubameyang sekali lagi menempa nama pada perlawanan di Camp Nou.

    Tiga gol dalam masa 14 minit pada separuh masa pertama hasil dua jaringan Torres dan satu sepakan penalti diambil oleh Aubameyang untuk menjadikan kedudukan 3-0. Riqui Puig melengkapkan kemenangan dengan pertemuan berbaki 15 minit.

    Tumpuan kini terarah kepada dua perlawanan pada minggu ini, iaitu menentang Galatasaray di Liga Europa dan kemudian pertemuan El Clasico pada hujung minggu menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu.

    “Jika kami bermain dengan intensiti sebegini, kami mampu bersaing dengan mana-mana pasukan,” kata Xavi Hernandez.

    Deretan empat kemenangan dilakar Barcelona melonjakkan mereka ke tangga ketiga, kini hanya lima mata di belakang Sevilla, yang mempunyai kelebihan satu perlawanan dan saingan kejuaraan mereka dilihat berakhir selepas terikat seri 1-1 menentang Rayo Vallecano.

    Sevilla mencatatkan seri enam daripada lapan perlawanan terakhir mereka di La Liga dan kecuaian mengutip mata di Vallecas bermakna Real Madrid kini 10 mata di hadapan mereka jika mereka menang di Mallorca hari ini.

    Barcelona merapatkan jurang dengan Sevilla dalam beberapa minggu kebelakangan dan mampu menamatkan kedudukan di tangga kedua. Sevilla mungkin tersingkir daripada perebutan kedudukan empat teratas sekiranya prestasi hambar mereka berlarutan.

    Sementara Sevilla dihimpit dengan masalah kecederaan sejak beberapa minggu kebelakangan, Barcelona telah bangkit semula dengan penambahbaikan, pembelian pemain pada Januari terus membuahkan hasil terutama prestasi Torres dan Aubameyang.

    Masing-masing berjaya menjaringkan lima gol sejak tiba pada jendela perpindahan dan Barca menjaringkan empat gol dalam empat daripada enam perlawanan terakhir mereka. – AFP

    Reaksi Pierre-Emerick Aubameyang meraikan gol bersama rakan sepasukan semasa pertemuan antara Barcelona dan Osasuna di Camp Nou, kelmarin.- AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...