Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Toshiba minta ganti rugi AS$1.1 bilion

    TOKYO, 29 Nov – Persengketaan antara Toshiba Corp. dan rakan niaganya dari Amerika Syarikat (AS), Western Digital ke atas penjualan unit flash-memory Toshiba yang menguntungkan telah didedahkan di sebuah mahkamah Tokyo.

    Dalam perbicaraan pertama kes itu, para peguam Toshiba meminta 120 bilion yen (AS$1.1 bilion) sebagai ganti rugi daripada Western Digital atas dakwaan mengganggu perniagaannya dan menjejaskan kredibilitinya sebagai sebuah syarikat.

    Peguam-peguam Western Digital pula menggesa mahkamah untuk lebih meneliti Toshiba, dengan berkata ia telah memfailkan satu dakwaan dengan mahkamah timbang tara di San Francisco, di mana persoalan yang sama diutarakan.

    Arahan Mahkamah Daerah Tokyo dijangka dapat menentukan sama ada penjualan itu, yang sangat diperlukan Toshiba untuk terus bertahan, diteruskan atau tidak. Toshiba telah dilanda dengan kerugian di operasi nuklear AS yang dijalankan oleh syarikat subsidarinya, Westinghouse Electric Co., yang difailkan muflis awal tahun ini.

    Presiden Toshiba Corp., Satoshi Tsunakawa ketika bercakap dalam satu sidang media di ibu pejabat syarikat itu di Tokyo pada 10 Ogos 2017. Perbalahan antara Toshiba Corp. dan Western Digital atas penjualan unit flash-memory telah didedahkan dalam perbicaraan di mahkamah Tokyo. – AP

    Toshiba telah mencapai satu perjanjian, yang dianggarkan bernilai 2 trilion yen (AS$18 bilion), pada bulan September dengan sebuah konsortium antarabangsa yang diketuai oleh dana pelaburan Bain Capital untuk menjual cip memori itu melalui rakan niaga. Western Digital menentang penjualan itu.

    Toshiba berharap untuk menyelesaikan perjanjian itu akhir bulan Mac tahun depan.

    Di dalam bilik mahkamah yang suram itu, Yukio Nagasawa, salah seorang peguam yang mewakili Toshiba, mempersoalkan tindakan Western Digital. Dia berkata syarikat itu tidak pernah mengikuti bidaan bagi perniagaan memori itu, sebaliknya cuba menggesa bank-bank untuk tidak memberikan Toshiba bantuan kewangan dan memberikan tekanan ke atas pembida berpotensi untuk tidak membuat bidaan.

    Nagasawa juga menekankan bahawa kes itu harus dibicarakan di mahkamah Jepun. Dia juga berkata terdapat risiko bahawa Western Digital mungkin mendedahkan rahsia-rahsia teknologi, kerana ia bertujuan untuk menghalang penjualan itu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda