BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Sebagai tanda sokongan dan meraikan hari dunia bagi keselamatan secara global serta menghargai kerjasama kakitangannya dalam mengutamakan keselamatan di tempat kerja, Total E&P Borneo B.V. turut memberikan sokongannya terhadap inisiatif itu di Onshore Processing Plant, Lumut dan Pangkalan Muara Integrated Supply baru-baru ini.
Acara tersebut, yang bertemakan ‘Objective: Zero Fatal Accident For Me, For You, For All’, bertujuan untuk memberi peluang kepada para rakan kongsi perniagaan dan kontraktor untuk bertemu dan terus mencipta kesedaran mengenai kepentingan keselamatan serta mengiktiraf sumbangan, usaha dan langkah keselamatan bagi kakitangannya, serta memastikan sikap sentiasa menjaga keselamatan sepanjang masa.
Hadir memeriahkan acara itu ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Presiden Kanan Total Asia Pacific, Javier Rielo dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Brunei, Haydn I Furlonge. Ketibaan para tetamu khas dialu-alukan oleh Pengurus Besar Total E&P Borneo B.V. Vincent Dutel.
Vincent Dutel dalam ucapannya menekankan mengenai kepentingan untuk sentiasa mempunyai sikap menjaga keselamatan sepanjang masa tidak kira di tempat kerja atau di rumah.
Dia menambah bahawa baru-baru ini Total telah meraikan 20 tahun tanpa kehilangan masa dan kecederaan. Dan itu menurutnya tidak mungkin dicapai tanpa kerja berpasukan dan usaha kesemua kakitangan dan kontraktor. Namun dia memberi peringatan bahawa semua orang tidak boleh mempunyai sikap berpuas hati dan memandang ringan perkara itu.
Antara alat yang digunakan oleh syarikat tersebut bagi memastikan amalan keselamatan ini adalah Permit untuk Bekerja. Ini membolehkan kakitangan untuk menilai dan menaksir mana-mana risiko atau bahaya sebelum memulakan mana-mana kerja.
Seterusnya adalah 12 ‘Golden Rules’ Total di tempat kerja, ia bertujuan untuk terus memberi peringatan kepada kakitangan bahawa apa yang mereka mesti dan jangan buat bagi sesuatu tugasan.
Dutel juga berkongsi mengenai satu lagi alat yang semua orang boleh gunakan apabila mereka melihat sesuatu yang tidak selamat sama ada ia menjejaskan manusia atau alam sekitar, iaitu ‘Stop Card’. Alat itu memberikan mana-mana kakitangan kuasa dari pengurus besar untuk menghentikan mana-mana perkara dengan serta merta. Di mana menurutnya bahawa semua orang memainkan peranan dalam memastikan keselamatan diri sendiri dan orang lain.
Selesai ucapan Vincent Dutel, acara diteruskan dengan penyampaian anugerah Tahunan HSE kepada para pemenang inisiatif Best HSE. Para tetamu kemudian diberi peluang membuat lawatan ke petak-petak pameran yang tersedia, memperlihatkan beberapa ‘Golden Rules’ terutamanya keadaan kerja di Onshore Processing Plant.
