BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diraikan setiap 10 Oktober, Total E&P Borneo BV telah menganjurkan acara Breakfast & Health Talk untuk membincangkan mengenai demensia dan mental bagi kakitangannya.
Acara yang diadakan di Hotel Radisson itu bukan sahaja dianjurkan untuk memupuk hubungan lebih baik dalam kalangan kakitangan Total tetapi juga untuk mewujudkan kesedaran dan menekankan mengenai kepentingan kesihatan mental.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tiga orang ahli panel telah dijemput untuk menyampaikan taklimat kesihatan iaitu Ketua Unit Geriatrik dan Paliatif di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Presiden Demensia Brunei, Dr Teo Shyh Poh yang membincangkan mengenai demensia bersama Timbalan Presiden Demensia Brunei, Dayang Irnawati binti Haji Mahir.
Taklimat mengenai kesihatan mental pula telah disampaikan oleh Kaunselor dan Penceramah Motivasi dari Clarity Sdn Bhd, Hajah Norajleen Uminatul Hafizan binti Haji Alimas.