PARIS, 29 JULAI – Syarikat tenaga gergasi Perancis, TotalEnergies, mengumumkan hari ini bahawa mereka akan menarik diri daripada dua medan gas luar pesisir di Afrika Selatan kerana ia didapati tidak berdaya maju dari segi ekonomi.
Anak syarikat TotalEnergies memiliki pegangan 45 peratus dalam blok di pesisir selatan negara itu di mana medan Brulpadda dan Luiperd ditemui.
TotalEnergies menyatakan telaga tersebut ‘tidak dapat dibangunkan secara komersial kerana didapati terlalu mencabar untuk dibangunkan dan dimanfaatkan secara ekonomi untuk pasaran Afrika Selatan.’
Blok itu, meliputi kawasan seluas 19,000 kilometer persegi, terletak 175 kilometer di luar pantai selatan Afrika Selatan.
Qatar Petroleum, yang memegang kepentingan 25 peratus dalam blok tersebut, juga mengumumkan hasratnya untuk menarik diri daripada projek itu, menurut Africa Energy Corp, sebuah syarikat penerokaan minyak dan gas Kanada yang memegang 10 peratus kepentingan melalui anak syarikatnya.
Rakan kongsi lain, CNR International, yang memiliki 20 peratus kepentingan blok itu, telah mengumumkan penarikan Julai lalu. – AFP