Monday, December 23, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    TotalEnergies hulur derma

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Kementerian Kesihatan bersama Persatuan Optalmologi Brunei, hari ini, telah menerima derma khusus bagi bantuan penglihatan kanak-kanak daripada TotalEnergies.

    Majlis penyampaian derma berkenaan berlangsung di Dewan Al-‘Afiah Kementerian Kesihatan di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin yang menerima derma yang disampaikan oleh Pengurus Besar TotalEnergies, Jerome Saniez.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada salah seorang kanak-kanak yang menerima sumbangan itu iaitu Awang Muhammad Aiman Danish bin Mohamad Khazami yang disempurnakan oleh Pengurus Perkhidmatan Korporat TotalEnergies, Harina Ramlee.

    Ketika ditemui pihak media, ibu bapa Awang Muhammad Aiman Danish iaitu Awang Mohammad Khazami bin Haji Mohd Daud dan Dayang Fahzilla Ernie binti Haji Ahmad Alisa Eswan menyatakan kesyukuran dan setinggi-tinggi penghargaan kepada TotalEnergies dan Kementerian Kesihatan atas bantuan yang diberikan kepada anaknya itu.

    Awang Muhammad Aiman Danish yang merupakan bekas pesakit kanser telah didiagnosis menghidap Leukemia sedari usia satu tahun lima bulan lagi dan kini umurnya yang mencapai 7 tahun, beliau telah dinyatakan bebas daripadanya.

    Walau bagaimanapun, jelas ibunya, disebabkan rawatan kemoterapi, saraf mata sebelah kiri terjejas dan rosak.

    Dengan hanya melihat menggunakan mata sebelah kanannya, Awang Muhammad Aiman Danish menuntut di Sekolah Rendah AHMY Katimahar dan di Pusat Ehsan. Dengan bantuan kaca mata khas baginya, beliau dapat menggunakan mata sebelah kanan dengan lebih baik.

    Derma yang disampaikan berkenaan adalah bagi Projek Children’s Vision Aid Fund iaitu khusus bagi pembelian alat bantu visual atau cermin mata untuk kanak-kanak (antara 0 – 8 tahun).

    Dengan adanya sumbangan berkenaan akan dapat memberikan bantuan kepada pesakit-pesakit yang memerlukannya.

    Haji Maswadi menerima derma daripada TotalEnergies yang disampaikan oleh Jerome Saniez.
    Gambar ramai pada majlis penyampaian derma yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda