Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Toto Wolff kritik Red Bull sebagai ‘remeh-temeh,’ ‘memalukan’

    LONDON, 18 JUN – Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff, menyifatkan tindakan Pasukan Red Bull memfailkan protes sebagai ‘remeh-temeh’ dan ‘memalukan’ selepas George Russell menewaskan juara dunia Formula Satu (F1) Max Verstappen di Grand Prix Kanada Ahad lalu.

    Red Bull mempertikai kemenangan Russell di Montreal atas dakwaan memandu secara tidak menentu  dan melakukan tindakan tanpa semangat kesukanan ketika di belakang kereta keselamatan, namun dakwaan itu ditolak oleh para pegawai perlumbaan.

    Ini merupakan kali kedua Red Bull mengemukakan protes terhadap pemandu Mercedes itu musim ini, selepas dakwaan beliau gagal memperlahankan kenderaan secukupnya ketika bendera kuning dikibarkan di Miami.

    Bercakap kepada Sky Sports semasa pelancaran filem F1 baharu di New York, Wolff berkata, “Pertama sekali, Red Bull Racing mengambil masa dua jam sebelum mengemukakan protes, jadi itu atas pilihan mereka. Saya tahu, sejujurnya, ia adalah sangat remeh-temeh dan kecil.

    “Mereka datang dengan beberapa klausa pelik, apa yang mereka panggil klausa. Saya rasa Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) perlu meneliti perkara itu kerana ia sangat tidak masuk akal hingga ditolak.

    Russell mendahului Verstappen semasa perlumbaan kereta F1 di Grand Prix Kanada, di Montreal pada 15 Jun. – AP

    “Kami berlumba, kami menang dan kami kalah di litar. Kemenangan itu adalah adil buat kami, seperti banyak kemenangan yang mereka sendiri pernah raih sebelum ini. Dan ini hanya memalukan,” tambahnya.

    Kemenangan Russell di Montreal merupakan yang pertama bagi Mercedes musim ini dan protes itu menjadi insiden terkini dalam siri kontroversi melibatkan dirinya dan juara dunia empat kali, Verstappen.

    Namun, pada acara yang sama, Ketua Pasukan Red Bull Christian Horner tetap mempertahankan keputusan berkenaan dan tidak menyesal membawa isu itu ke hadapan para pegawai perlumbaan.

    “Tidak, langsung tidak menyesal. Saya maksudkan, itu adalah hak sesebuah pasukan. Kami nampak sesuatu yang kami rasa tidak betul,” kata Horner.

    “Awda ada hak untuk membawanya ke hadapan pegawai perlumbaan dan itulah yang kami pilih untuk lakukan. Kami langsung tidak menyesal,” katanya lagi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda