PARIS, 30 APRIL – Logan Costa dan Thijs Dallinga masing-masing menjaringkan dua gol ketika Toulouse membelasah Nantes 5-1 kelmarin sekali gus merangkul Piala Perancis buat kali pertama sejak 1957.
Costa meletakkan Toulouse di hadapan seawal minit keempat, dan menambah jaringan beberapa saat kemudian sebelum Dallinga menyumbat dua gol kurang setengah jam perlawanan berlangsung di Stade de France.
Zakaria Aboukhlal melengkapkan kemenangan bersejarah buat Toulouse pada separuh masa kedua sebelum Ludovic Blas menjaringkan gol sagu hati melalui sepakan penalti buat Nantes.
“Ia adalah kejohanan ikonik di negara ini dan kami merasa bangga. Kami berjaya melakukannya dan kami akan dikenang dalam sejarah kelab,” kata Costa.
Walau bagaimanapun, Toulouse mungkin tidak dapat bermain di kejohanan Eropah musim hadapan sekiranya AC Milan layak ke Liga Juara-Juara atau Liga Europa kerana kedua-dua kelab tersebut dimiliki oleh firma pelaburan Amerika Syarikat (AS), RedBird Capital Partners.
Presiden Emmanuel Macron berjabat tangan dengan pemain di terowong sebelum perlawanan, tidak menghiraukan sambutan kurang gembira susulan reformasi pencen yang tidak disenangi, yang mencetuskan bantahan dan mogok selama tiga bulan.
Toulouse menikmati musim yang baik selepas kepulangan mereka ke Ligue 1, berada di kedudukan pertengahan liga dan mara ke pusingan akhir buat kali pertama kali pertama dalam masa 66 tahun.
Bertemu pasukan Nantes yang sedang berjuang untuk mengelak penyingkiran, Toulouse segera mengawal perlawanan menerusi wira yang tidak diduga selepas Costa menjaringkan dua gol pertama musim ini dalam masa 10 minit.
Pemain pertahanan Cape Verde itu, yang membuat hampir setiap penampilan dalam saingan piala musim ini, menewaskan Andrei Girotto untuk menjaringkan gol pembukaan daripada sepakan sudut Branco van den Boomen.- AFP