DUSSELDORF, 30 Jun – Pelumba pilihan Tour de France Chris Froome dan Richie Porte percaya jelajah tahun ini akan memberi debaran kepada peminat sehingga ke penghujung kayuhan.
Dengan jumlah peringkat pendakian yang agak terhad dan hanya sejauh 36.5km bagi acara ujian masa, pelumba Australia Porte berkata, peringkat selebihnya menjadi terbuka untuk dimenangi dan boleh menukar perlumbaan menjadi tunggang terbalik, manakala Froome pula menegaskan laluan jelajah kali ini memberi kelebihan kepada pelumba yang agresif.
Froome, pelumba Britain memasang sasaran kejuaraan buat kali keempat, selepas memenanginya pada 2013, 2015 dan tahun lalu, manakala Porte yang menjadi rakan sepasukan dan pembantu Froome sebelum ini, tampak lebih bersedia bersama pasukan BMC.
Selain membabitkan pencabar seperti juara Vuelta a Espana tahun lalu, Nairo Quintana (Movistar), juara dua kali dari Sepanyol, Alberto Contador (Trek), pelumba harapan Perancis Romain Bardet (AG2R) dan juara Criterium du Dauphine, Jakob Fuglsang (Astana) – satu pertarungan sengit diramal berlangsung sepanjang tiga minggu akan dating.
Selain itu, ada juga nama rakan sepasukan Quintana di Movistar, Alejandro Valverde yang menyerlah apabila memenangi jelajah Catalonia, Andalusia, Murcia dan Basque Country, selain dua perlumbaan klasik Ardennes iaitu Liege-Bastogne-Liege dan Fleche Wallonne.
Dengan jarak kayuhan keseluruhan sejauh 3,540km, bermula dengan acara ujian masa 14km esok di sekeliling Dusseldorf, banyak yang akan berlaku sebelum peloton tiba di Paris pada 23 Julai depan, tetapi pengurus pasukan Sky yang diwakili Froome, Dave Brailsford percaya tiada seorang pun yang mampu melihat saja apa yang dilakukan pelumba lain.


“Jelas sesiapa saja yang akan memenangi perlumbaan kali ini perlu bertindak agresif,” kata Brailsford.
“Ia bakal menjadi persaingan yang terbuka dan menarik, di mana anda perlu melakukan serangan setiap hari. Ia bukannya satu perlumbaan yang anda hanya perlu bertahan, tetapi satu perlumbaan agresif.”
Walaupun sudah menggenggam tiga kejuaraan dan kini bergelar bapa selepas kemenangan tahun lalu, Froome menegaskan dia tidak pernah kehilangan nafsu yang membawanya muncul sebagai juara.
“Keinginan itu tidak pernah berkurangan, saya tetap bermotivasi kerana ada banyak yang mahu saya kejar ketika ini,” kata Froome yang berkongsi usia 32 tahun dengan Porte.
Froome dan Porte saling menuding jari apabila diberi gelaran sebagai pelumba pilihan kali ini, tetapi Porte mengakui dia menganggap pasukan Sky bukanlah sebuah pasukan hebat serba-serbi seperti sebelum ini.
“Sky mungkin tidak sekuat seperti masa lalu, tetapi sejauh mana ia memberi kesan terhadap taktikal mereka, itu saya tidak tahu,” kata Porte yang menolak tumpuan umum untuk melihat pertarungan dua penjuru dengan bekas rakan sepasukannya itu.
“Bukan antara kami saja, ada ramai lagi pelumba hebat kali ini, anda tidak seharusnya fokus kepada dua pelumba saja,” katanya. – AFP