BATU PAHAT, 27 Feb – Persiapan penganjuran pertandingan lumba basikal Tour de Iskandar Johor 2019 kini memasuki peringkat akhir dengan 90 peratus telah siap termasuk laluan.
Pengerusi Tour de Iskandar Johor 2019, Ja’affar Hashim berkata kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan itu membabitkan lima peringkat laluan bermula di Nusajaya dan berakhir di Johor Bahru yang akan melalui tujuh daerah serta 50 bandar di negeri ini.
Kini persiapan memasuki peringkat terakhir, di mana ‘team recce’ kejohanan sedang melakukan pemeriksaan terhadap laluan yang sejauh 700 kilometer itu untuk memastikan aspek keselamatan dipatuhi sepenuhnya.
“Buat masa ini, kami telah menerima 23 penyertaan pasukan berbasikal termasuk enam pasukan profesional Malaysia dan dua pasukan profesional dari Australia serta Perancis.
“Bagi tinjauan akhir ini, kami bermula hari ini sehingga 2 Mac nanti membabitkan laluan landai serta laluan berbukit yang bakal dilalui pelumba pada kejohanan yang dijangka bermula pada 17 hingga 21 April 2019 nanti,” katanya kepada pemberita sebelum pelepasan Team Recce Tour de Iskandar Johor 2019 di hadapan ibu pejabat kejohanan itu di Jalan Mohd Salleh di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasinya, Azmi Juewani berkata, kejohanan itu adalah anjuran Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Berbasikal Johor.
Turut memberikan kerjasama ialah Yayasan Kanser Tunku Laksmana Johor, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan diuruskan oleh Sovereign International Ventures.
“Siri kejohanan kali pertama ini akan melalui beberapa bandar seperti Nusajaya, Batu Pahat, Muar, Yong Peng, Kluang, Mersing, Bandar Penawar dan berakhir di Johor Bahru.
“Kejohanan berbasikal ini sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan akan dimasukkan di dalam kalendar sukan dan pelancongan negeri Johor,” katanya. – Bernama