Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Tourism Malaysia di Brunei mahu terus teroka peluang kolaborasi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Dalam usaha menarik lebih ramai pelawat dari Negara Brunei Darussalam untuk berkunjung ke Malaysia, kerjasama yang kreatif dengan pelbagai pihak yang berkepentingan adalah amat penting.

    Dalam hubungan itu, Tourism Malaysia diharap akan bekerjasama dengan lebih ramai ejen pelancongan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain dalam mempromosikan pelancongan di Malaysia. 

    Harapan itu disuarakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato Raja Reza bin Raja Zaib Shah dalam ucapannya semasa Majlis Minum Petang Penghargaan Tourism Malaysia yang berlangsung di Alter Ego Cafe, hari ini.

    Beliau juga berharap melihat lebih ramai pelawat dari Brunei untuk melawat ke tempat-tempat menarik selain Miri atau Kota Kinabalu di mana terdapat pelbagai tarikan pelancongan lain di Malaysia di negeri-negeri lain seperti Perlis, Kelantan dan Terengganu.

    Ke arah mencapai hasrat itu, perlunya kesalinghubungan udara dan peningkatan jumlah penerbangan di antara Brunei dan Malaysia serta pada masa yang sama, meneroka destinasi baharu seperti Langkawi dan Penang.

    Beliau berkata terdapat banyak negeri yang mengadakan tahun melawat mereka masing-masing seperti Tahun Melawat Melaka 2024, Tahun Melawat Perlis 2024-2025, Tahun Melawat Perak 2024 dan Tahun Melawat Kelantan 2024.

    Terdahulu, Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Hazrina Azman dalam ucapan alu-aluannya berkata secara amnya 2023 merupakan tahun yang baik bagi industri pelancongan dan walaupun industri berkenaan belum lagi pulih sepenuhnya seperti pada 2019, para pakar menyatakan industri itu akan menyaksikan pertumbuhan pada 2024.

    Beliau menyatakan Tourism Malaysia yang berusaha menarik pelancong dari Brunei untuk berkunjung ke Malaysia, telah terlibat dalam sekurang-kurangnya 24 buah projek pada 2023 serta bekerjasama dengan pelbagai rakan-rakan kongsi.

    Menerusi inisiatif berkenaan, ia sedikit sebanyak telah menyumbang kepada jumlah ketibaan ke Malaysia yang mencatat 574,856 orang bagi tempoh Januari hingga September 2023 dengan jumlah resit sebanyak RM1.26 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2022 iaitu hanya 87,038 orang.

    Oleh itu, Tourism Malaysia menyasarkan peningkatan sebanyak 10.6 peratus ketibaan dari Negara Brunei Darussalam berbanding dengan jumlah ketibaan sebanyak 1.21 juta yang dicatatkan pada 2019.

    Bagi mencapai hasrat itu, ulas Hazrina, pihaknya ingin terus menerokai pelbagai laluan yang ada dan mengadakan lebih banyak kolaborasi.

    Majlis yang diadakan untuk memberikan penghargaan kepada rakan-rakan kongsi industri Tourism Malaysia turut diserikan dengan pelbagai acara kuiz dan permainan.

    TYT Dato Raja Reza bergambar ramai semasa majlis di Alter Ego Cafe, hari ini. – GAMBAR OLEH JAMES KON

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...