Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Tourism Malaysia tidak ketinggalan memeriahkan Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2023 yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Pusat Beli-belah Onecity.
Hadir bagi merasmikan petak pameran Tourism Malaysia ialah Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku Timbalan Pengerusi Penerbangan Diraja Brunei (RB) bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah, Pengerusi Sabre TN Brunei, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid, dan Pengarah Tourism Malaysia Brunei, Hazrina Azman.
Semasa acara itu, Tourism Malaysia juga disertai oleh Tourism Melaka, Malaysia Healthcare Travel Council, Tiara Labuan Hotel, Labuan Rusukan Besar Resort, Sutera Sanctuary Lodges dan Sabah Fertility Centre.
Selain itu, Lembaga Pelancongan Sarawak dan Lembaga Pelancongan Sabah turut mengambil bahagian untuk memberikan maklumat secara langsung kepada pengunjung di petak pameran masing-masing.
Melihat kepada permintaan tinggi serta minat yang semakin meningkat dalam perjalanan ke Malaysia, Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi pelancongan tempatan untuk mempromosikan pelbagai kempen dan promosi pelancongan yang menarik, antaranya Cuti-Cuti Malaysia Swipe & Win bersama Bank Baiduri dan Straits Central Agencies (SCA) yang menawarkan pakej percutian yang menarik ke beberapa destinasi pelancongan di Malaysia termasuklah Genting Highlands, Kuala Lumpur, Melaka, Penang, Johor, Kuching, dan Kota Kinabalu.
Kempen itu juga menawarkan penyertaan cabutan bertuah secara eksklusif untuk pemegang kad debit dan kredit Bank Baiduri untuk setiap perbelanjaan minimum di
Malaysia.
Pada acara itu, orang ramai juga diberi peluang tiga kali ganda untuk sebarang pembelian produk pelancongan yang dibuat hanya di SCA.
Selain itu, SCA turut menawarkan Miss SHOPhia Shopping Hunt Edisi Pulau Pinang di mana pelanggan boleh mengambil bahagian dengan membeli Pakej 3 Hari 2 Malam Penang Miss SHOPhia Shopping Hunt daripada SCA di mana pasukan pertama akan mendapat potongan
$200.