Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tourism Malaysia yakin sasaran 27.3 pelancong asing dapat dicapai

    SEPANG, 11 FEB – Tourism Malaysia yakin sasaran ketibaan 27.3 juta pelancong asing bagi tahun ini dapat dicapai disokong oleh faktor-faktor seperti pemberian Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa Sewa Khas kepada syarikat penerbangan, Pelan Liberalisasi Visa dan promosi pelancongan yang diperhebat di luar negara.

    Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata pada tahun lepas lebih 20 juta pelancong asing datang ke Malaysia, melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 19.1 juta pelancong.

    “Kita menggalakkan lebih banyak penerbangan sewa khas datang ke Malaysia dan usaha ini akan kita teruskan sebab kita faham dan tahu yang kita memerlukan laluan baharu serta kekerapan penerbangan lebih banyak supaya kita dapat capai sasaran pelancong yang kita tetapkan.

    Kita berharap dengan adanya insentif (Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa Sewa Khas) yang kita berikan kepada syarikat-syarikat penerbangan, kita akan mendapat lebih banyak penerbangan sewa khas untuk datang ke Malaysia, bukan saja ke Kuala Lumpur, tetapi juga ke Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Tawau,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir bersama Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bagi menyambut ketibaan penerbangan sulung Malaysia Airlines bagi laluan Kuala Lumpur- Shenyang Taoxian International Airport, Shenyang, Liaoning, China hari ini.

    Ammar berkata pemberian Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa Sewa Khas kepada syarikat penerbangan tertakluk kepada beberapa syarat antaranya kekerapan penerbangan, pertambahan laluan baharu dan penggunaan penerbangan sewa khas. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda