Wednesday, December 18, 2024
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tourism M’sia menang pertubuhan terbaik kali kelima

    JAKARTA, 18 DIS – Tourism Malaysia memenangi kategori Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Terbaik buat kali kelima berturut-turut pada Anugerah Pengembaraan dan Pelancongan Indonesia (ITTA) ke-15 2024/2025, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor pelancongan.

    Acara itu dianjurkan oleh Yayasan ITTA, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 2010 dan disokong oleh Kementerian Pelancongan Indonesia, dengan tujuan memacu pertumbuhan industri pelancongan.

    Anugerah itu disampaikan kepada Pengarah Tourism Malaysia Jakarta, Hairi Mohd Yakzan oleh Presiden Yayasan ITTA Panca R. Sarungu dalam satu majlis di sebuah hotel di Jakarta Utara malam kelmarin.

    Hairi mengaitkan pencapaian itu dengan usaha kolektif pasukannya dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu pejabat organisasi berkenaan.

    “Kejayaan ini adalah hasil kerja berpasukan kami, serta dorongan yang tidak berbelah bahagi daripada ibu pejabat,” katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah itu.

    “Motivasi berterusan mereka mendorong kami untuk bekerja tanpa mengenal penat lelah, memajukan industri pelancongan dan meningkatkan lagi profil Malaysia di pentas antarabangsa.”

    Memandang ke hadapan, Hairi berkata anugerah itu akan memberi inspirasi kepada pasukan untuk meneruskan usaha mereka menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia.

    “Pengiktirafan ini menyemarakkan keazaman kami kerana kami menyasarkan 4.2 juta pelancong Indonesia pada 2024 dan menyasarkan untuk menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2026 satu kejayaan yang memberangsangkan dengan sasaran 4.7 juta pengunjung Indonesia.”

    Pencapaian terbaharu ini menambah rentetan kemenangan bagi Tourism Malaysia, yang sebelum ini meraih gelaran berkenaan pada 2019, 2021, 2022 dan 2023. – Bernama

    Pemandangan di Kuala Lumpur. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda