SHENZHEN, 17 SEPT – Pemain tenis Amerika Syarikat (AS), Taylor Townsend, tampil memohon maaf hari ini selepas menimbulkan kontroversi apabila menggelar hidangan penyu dan katak kuak yang disajikan di sebuah bufet sebagai ‘gila’ ketika menyertai Piala Billie Jean King di China.
Townsend dalam catatan di Instagram kelmarin malam menulis, “Apa semua ini…penyu dan katak kuak..betul-betul pelik.”
Dia turut memuat naik video susulan dengan berkata, “Mereka ini betul-betul membunuh katak, katak kuak. Bukankah yang itu menyebabkan ketuat dan bisul?”
Kenyataannya mencetuskan kecaman hebat di media sosial tempatan, apabila tanda pagar ‘Pemain tenis Amerika menghina makanan Cina secara terbuka’ menjadi topik tular di platform seakan Twitter, Weibo, dengan lebih 50 juta tontonan menjelang petang tadi.
Pengguna Weibo mengecam kenyataan Townsend terhadap masakan tradisional berkenaan. Namun, sebahagian pula melemparkan komen berunsur perkauman terhadap pemain berkulit hitam itu.
Catatan asal Townsend menerima ratusan komen kecaman dan dia sekali lagi menggunakan Instagram hari ini bagi menyampaikan permohonan maaf.
“Saya hanya ingin memohon maaf dengan ikhlas daripada hati yang paling dalam,” katanya.
“Saya mendapat pengalaman yang luar biasa di sini. Kenyataan saya sebelum ini langsung tidak mencerminkan hal tersebut. Tiada alasan untuk kesilapan itu. Saya akan menjadi lebih baik selepas ini.”
Townsend, yang terkenal sebagai pakar beregu, bakal diturunkan dalam aksi suku akhir menentang Kazakhstan di Shenzhen esok. – AFP


