TOKYO, 11 JUN – Saham Hino Motors, unit pengeluaran trak milik gergasi automotif Jepun Toyota, menjunam hari ini selepas syarikat itu mengumumkan penggabungan dengan sebuah subsidiari milik Daimler Truck dari Jerman.
Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk kekal berdaya saing pada ketika pengeluar automotif global berdepan dengan ketidaktentuan tarif perdagangan Amerika Syarikat dan kemunculan pesaing baharu dari China.
Kedua-dua syarikat itu kelmarin menyatakan bahawa integrasi Hino dan anak syarikat trak Daimler, Mitsubishi Fuso Truck and Bus, akan ‘menubuhkan sebuah kuasa besar trak Jepun yang baharu dan kukuh’.
Mereka menyatakan bahawa mereka menyasarkan untuk menyelesaikan penggabungan itu, dengan kedudukan yang sama rata di bawah sebuah syarikat pegangan yang disenaraikan, menjelang April 2026.
Saham Hino Motors jatuh lebih 12 peratus dalam dagangan pagi tadi.

“Daimler Truck dan Toyota masing-masing akan menyasarkan untuk memiliki 25 peratus syarikat pegangan (yang disenaraikan) bagi Mitsubishi Fuso dan Hino yang digabungkan,” kata satu kenyataan bersama.
“Tujuan syarikat-syarikat ini adalah untuk meningkatkan kecekapan perniagaan dalam bidang seperti pembangunan, perolehan dan pengeluaran,” kata kenyataan itu.
“Mereka menjangkakan akan dapat meningkatkan daya saing pengeluar kenderaan komersial Jepun secara signifikan dan mengukuhkan asas industri automotif di Jepun dan Asia.”
Syarikat baharu itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan model-model yang menggunakan bahan api dan teknologi baharu, daripada trak elektrik dan trak berkuasa hidrogen kepada sistem pemanduan autonomi.
Penganalisis berkata syarikat-syarikat Jepun telah kehilangan kedudukan dalam pasaran EV dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana lebih banyak menumpukan kepada kenderaan hibrid.
Pasaran EV China yang sangat kompetitif kini merupakan pasaran terbesar di dunia, diketuai oleh pengeluar kenderaan berpangkalan di Shenzhen, BYD, yang sedang mempercepatkan pengembangan ke luar negara. – AFP