TOKYO, 31 JAN – Toyota Motor Corp mengekalkan gelaran sebagai pengeluar kereta terbesar dunia berdasarkan jumlah jualan untuk tahun kelima berturut-turut pada 2024, didorong oleh permintaan kukuh bagi kenderaan hibrid, menurut data yang dikeluarkan kelmarin.
Menurut Agensi Berita Kyodo, kumpulan automotif itu yang merangkumi pengeluar kenderaan mini Daihatsu Motor Co dan pengeluar trak Hino Motors Ltd, merekodkan jualan sebanyak 10.82 juta unit pada 2024, susut 3.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pesaing utama Toyota, Volkswagen AG dari Jerman, menjual 9.03 juta kereta sepanjang tahun berkenaan.
Toyota sendiri mencatatkan jualan sebanyak 10.16 juta kereta, merosot 1.4 peratus selepas terjejas akibat skandal pensijilan kenderaan di Jepun yang menyaksikan syarikat itu menghentikan sementara pengeluaran beberapa model. Jualan domestik merosot 13.8 peratus kepada 1.44 juta unit.
Mengikut rantau, jualan Toyota di Amerika Utara meningkat 4.3 peratus kepada 2.73 juta unit, manakala jualan di Eropah naik 3.6 peratus kepada 1.17 juta unit, didorong oleh permintaan tinggi terhadap model seperti RAV4 dan C-HR. Bagaimanapun, jualan di China susut 6.9 peratus kepada 1.78 juta unit berikutan persaingan harga yang sengit.
Jualan kenderaan hibrid meningkat 21.1 peratus kepada 4.14 juta unit, disokong oleh permintaan yang kukuh di pasaran utama seperti Amerika Utara dan Eropah, ketika permintaan global terhadap kenderaan elektrik mula menunjukkan tanda-tanda kelembapan. Sementara itu, jualan kenderaan elektrik Toyota meningkat 34.5 peratus kepada 139,892 unit.
Pengeluaran global kumpulan itu susut 7.8 peratus kepada 10.62 juta kenderaan, dengan pengeluaran Toyota sendiri merosot 5.1 peratus kepada 9.52 juta kereta.
Toyota juga menghentikan pengeluaran beberapa model popular, termasuk Yaris Cross, susulan skandal yang mendedahkan syarikat itu tidak mematuhi sepenuhnya piawaian kerajaan dalam ujian kenderaan. – Bernama/Kyodo