Khamis, November 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Toyota lancar perkampungan berteknologi tinggi

    TOKYO, 25 SEPT – Pengeluar kenderaan terkemuka dunia, Toyota telah melancarkan sebuah perkampungan berteknologi tinggi di Jepun hari ini, satu projek eksperimental untuk menguji teknologi pemanduan autonomi serta pelbagai pembangunan futuristik lain.

    Projek yang dikenali sebagai ‘Woven City’ itu digambarkan sebagai sebuah persekitaran sebenar bagi menguji pelbagai ciptaan, termasuk teksi terbang, haiwan robot dan dron yang mampu mengiringi penggunanya pulang ke rumah pada waktu malam.

    Seramai 360 kakitangan Toyota dan individu berkaitan syarikat itu dijangka akan mula berpindah ke rumah pintar yang disediakan di perkampungan tersebut dalam masa terdekat.

    “Ini adalah litar ujian untuk masa depan, bukan sekadar sebuah bandar,” kata Pengerusi Toyota, Akio Toyoda, semasa majlis pelancaran seperti dilaporkan oleh syarikat penyiaran kebangsaan NHK.

    Menurut firma tersebut, projek itu dibangunkan di tapak bekas kilang Toyota, terletak di kaki gunung Fuji dan dijangka akan menempatkan sehingga 2,000 penduduk dalam fasa akan datang.

    Kawasan halaman Woven City dan kenderaan elektrik e-Palette di Susono, Wilayah Shizuoka pada 25 September. – AFP

    Toyoda sebelum ini menyifatkan Woven City sebagai ‘makmal hidup di mana penduduknya secara sukarela menjadi sebahagian daripada ujian dan pembangunan teknologi dalam persekitaran yang terkawal dan selamat.

    “Rumah-rumah di Woven City itu akan menjadi tapak ujian teknologi masa depan seperti robotik dalam rumah untuk membantu kehidupan seharian,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Januari lalu.

    Salah satu contoh yang dikemukakan ialah robot yang mampu belajar melipat baju.

    Projek yang pertama kali diumumkan pada tahun 2020 itu diterajui oleh anak beliau, Daisuke Toyoda.

    “Sama seperti ujian pemandu bagi kenderaan, penduduk di sini akan menjadi pengguna utama yang mengalami sendiri produk dan perkhidmatan baharu yang dibangunkan oleh pencipta kami,” jelasnya.

    Perkampungan ini juga akan menjadi lokasi ujian untuk pelbagai teknologi logistik dan pemanduan autonomi, termasuk penggunaan e-Palette, bas pandu sendiri keluaran Toyota. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda