Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – SUV ikonik Toyota, Land Cruiser 250 Prado serba baharu, kini berada di pasaran Brunei dan dibawakan oleh NBT Brunei selaku pengedar sah Toyota di negara ini.
Majlis pelancaran yang berlangsung malam ini di Bilik Pameran NBT disempurnakan oleh Pengarah Urusan NBT Brunei, Haji Ahmad Omar bin Haji Hussin; Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran NBT, Awang Muhammad Clovien bin Abdullah Timpoh.
Juga turut melancarkan ialah Pengarah Urusan BIBD At-Tamwil Berhad, Haji Mohd Said bin Haji Zania dan Pemangku Pengurus Besar Baiduri Finance, Haji Mohd Rayme bin Haji Bakri.
Land Cruiser 250 Prado tersedia dalam dua varian iaitu VX dan TX, yang masing-masing menggabungkan ciri-ciri ketahanan, kebolehpercayaan dan teknologi moden Toyota.
Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin diesel turbo 2.8 liter dengan 201 kuasa kuda dan 500 Nm tork, serta transmisi automatik 8 kelajuan untuk prestasi cemerlang di atas dan luar jalan raya.
Varian TX direka dengan ciri praktikal seperti sistem infotainmen 8 inci, tempat duduk baris ketiga manual, lampu hadapan LED auto-leveling statik dan roda aloi 18 inci.
Sementara itu, varian VX menawarkan pengalaman premium dengan sistem infotainmen 12.3 inci, tempat duduk baris ketiga lipat elektrik, lampu hadapan LED auto-leveling dinamik, dan roda aloi 20 inci.
Kedua-dua varian dilengkapi sistem keselamatan Toyota Safety Sense (TSS), termasuk lapan beg udara, sistem praperlanggaran, amaran keluar lorong, kawalan pelayaran adaptif, dan bantuan tanda jalan.
Hill-Start Assist serta sistem brek antiblok (ABS) dan kawalan kestabilan kenderaan (VSC) turut disertakan untuk keselamatan tambahan.
Land Cruiser 250 Prado dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), yang meningkatkan kekukuhan kenderaan, pengendalian, dan mengurangkan bunyi kabin.
SUV ini hadir dalam pilihan warna seperti platinum white pearl, avant-garde bronze, hitam dan dark gray (hanya untuk TX).
Dengan ketinggian 215mm dan sistem pacuan 4WD, kenderaan ini sesuai untuk pengembaraan lasak di pelbagai medan termasuk pasir, lumpur, dan batu.
Walaupun mempunyai prestasi lasak, Land Cruiser 250 Prado menawarkan penggunaan bahan api yang efisien iaitu 7.9 liter setiap 100 kilometer.
Para jemputan di majlis pelancaran berpeluang melihat lebih dekat model ini sebelum menikmati jamuan malam.
Land Cruiser 250 Prado boleh dilihat di semua bilik pameran NBT Toyota bermula 18 Januari, membolehkan pelanggan merasai sendiri keunggulan dan keselesaan SUV ini.