Thursday, January 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Toyota rancang buat bateri keadaan pepejal

    TOKYO, 13 JUN – Toyota merancang untuk menghasilkan bateri keadaan pepejal (all solid-state battery) berasaskan pepejal sebagai sebahagian daripada rancangan bercita-cita tinggi untuk kenderaan elektrik bateri, kata syarikat tersebut hari ini, di tengah-tengah kritikan yang semakin meningkat mengenai keperluan pengeluar automitif terkemuka Jepun itu untuk melakukan lebih banyak usaha dalam memerangi perubahan iklim.

    Toyota Motor Corp. berhasrat untuk memiliki bateri sepenuhnya berasaskan keadaan pepejal yang digunakan secara komersial seawal 2027. Masa pengecasan, salah satu kelemahan utama kenderaan elektrik akan dipendekkan kepada 10 minit atau kurang, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

    Ia merancang untuk menghantar 1.5 juta kenderaan elektrik (EV) pada 2026 dengan mengembangkan rangkaian EV baterinya dan membangunkan teknologi.

    “Dengan evolusi sistem pengendalian kenderaan, bateri EV generasi seterusnya juga akan membolehkan penyesuaian rasa pemanduan dengan tumpuan pada pecutan, belokan dan berhenti,” katanya.

    Pemilik EV biasanya mempunyai stesen pengecasan di rumah mereka dan memastikan kereta mereka dicas semalaman. Ia merupakan salah satu sebab utama mengapa Toyota telah lama menegaskan bahawa hibrid adalah penyelesaian yang lebih baik. Hibrid mengecas semula semasa kereta bergerak, tetapi ia juga mempunyai enjin petrol sebagai tambahan kepada motor elektrik.

    Presiden Toyota, Koji Sato berkata bahawa syarikat itu perlu mengejar selepas ketinggalan dalam sektor EV. Pengeluar kereta itu mungkin akan menghadapi kritikan keras mengenai komitmen perubahan iklimnya pada mesyuarat pemegang saham di bandar Toyota, tengah Jepun, yang ditetapkan pada Rabu.

    Dalam pengumuman terbaharunya, Toyota berkata ia juga sedang berusaha untuk menginovasikan bateri litiumion, sejenis bateri kini dalam kebanyakan EV, dan mahu menawarkan pilihan mampu milik baharu. – AP

    Logo Toyota Motor Corp. dilihat di syarikat pengedarnya di Lakewood, Colorado, 21 Mac 2021. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda