Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Toyota, Suzuki jalin kerjasama

    TOKYO, 6 Feb – Pengeluar kereta Jepun Toyota dan Suzuki, yang mulai membincang satu perkongsian pada Oktober, berkata hari ini mereka akan bekerjasama dalam ekologi dan teknologi keselamatan, bidang yang berkembang pesat dalam industri berkenaan.

    Toyota Motor Corp, pengeluar kereta sedan Camry, hibrid Prius dan model mewah Lexus, dan Suzuki Motor Corp., yang mengkhusus dalam kereta kecil, mengumumkan keputusan tersebut, ekoran kelulusan daripada lembaga syarikat, dan menandatangani satu memorandum persefahaman, kata kedua-dua pihak.

    Satu lagi bidang kerjasama adalah teknologi maklumat serta membekal produk dan komponen di antara satu sama lain. Langkah seterusnya adalah mengemukakan projek kerjasama yang khusus, kata mereka.

    Suzuki tidak mempunyai kereta hibrid elektrik atau kenderaan bahan api. Kereta pandu sendiri juga menjadi tumpuan yang meningkat dalam industri tersebut.

    Presiden Toyota Akio Toyoda memuji semangat Suzuki yang suka meneroka.

    Presiden Toyota Motor Corp., Akio Toyoda (kiri) dan Pengerusi Suzuki Motor Corp., Osamu Suzuki ketika sesi sidang media di Tokyo. - AP
    Presiden Toyota Motor Corp., Akio Toyoda (kiri) dan Pengerusi Suzuki Motor Corp., Osamu Suzuki ketika sesi sidang media di Tokyo. – AP

    “Saya benar-benar berterima kasih kerana diberikan peluang ini untuk bekerjasama dengan syarikat seperti Suzuki, yang berlimpahan dengan semangat cabaran. Toyota tidak sabar-sabar untuk belajar,” kata beliau dalam satu kenyataan.

    Memajukan teknologi futuristik adalah mahal, dan pengeluar kereta boleh berharap untuk mengurangkan kos dengan bekerjasama. Toyota dan Suzuki telah menggalak syarikat lain supaya menyertai perkongsian itu.

    “Kami kini berdiri di titik permulaan untuk membina satu hubungan kerjasama yang konkrit. Saya mahu memberikan usaha ini sokongan penuh kami dan berhasrat menghasilkan keputusan yang akan mendorong Toyota membuat kesimpulan bahawa ia adalah perkara yang betul untuk Toyota membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Suzuki,” kata pengerusi Suzuki Osamu Suzuki.

    Suzuki berkata syarikat telah berusaha mengambil hati Toyota mengenai perkongsian sedemikian bertahun-tahun lamanya.

    Toyota memimpin dunia dalam menjual hibrid gas-elektrik, diketuai oleh Prius, dan ia juga sedang mengusahakan kenderaan bahan api dan elektrik.

    Peraturan pengeluaran semakin diperketat di seluruh dunia, di tengah kebimbangan yang meningkat mengenai alam sekitar dan pemanasan global. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda