TOKYO, 5 FEB – Toyota Motor Corp. mengumumkan rancangan untuk membangunkan dan mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) serta bateri EV di China melalui kerjasama baharu dengan kerajaan Shanghai, selaras dengan usaha syarikat itu mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran EV yang semakin berkembang pesat.
Selain itu, Toyota juga akan memulakan pengeluaran bateri bagi EV, hibrid dan kenderaan plug-in di fasiliti baharu bernilai AS$14 bilion di North Carolina, dengan penghantaran bagi model di Amerika Utara dijangka bermula pada April.
Langkah itu mencerminkan strategi agresif Toyota dalam sektor EV, ketika berdepan persaingan sengit daripada syarikat seperti Tesla dan BYD, serta keprihatinan global terhadap kemampanan alam sekitar.
Toyota akan menubuhkan syarikat di daerah Jinshan, barat daya Shanghai, bagi memulakan pengeluaran EV Lexus baharu pada 2027 dengan kapasiti awal 100,000 unit setahun, yang dijangka mewujudkan kira-kira 1,000 pekerjaan. Sementara itu, kilang bateri di Amerika Syarikat (AS) akan menyediakan sekitar 5,000 peluang pekerjaan.
Pengumuman itu turut dibuat ketika ketegangan perdagangan semakin meningkat di Asia berikutan tindakan Presiden Donald Trump mengenakan tarif ke atas barangan China, yang dibalas dengan langkah serupa oleh Beijing, berkuat kuasa minggu depan.
Dalam laporan kewangan terkini, Toyota mencatatkan lonjakan keuntungan suku ketiga fiskal sebanyak 61 peratus kepada 2.19 trilion yen (AS$14 bilion), manakala jualan meningkat tiga peratus kepada 12.4 trilion yen (AS$81 bilion).
Syarikat itu menyatakan jualan mencatat pemulihan selepas penggantungan pengeluaran akibat skandal pensijilan di Jepun pada awal tahun fiskal ini. – AP