TOKYO, 13 NOV – Syarikat gergasi automotif Jepun, Toyota, berkata hari ini bahawa ia akan melabur $10 bilion di Amerika Syarikat (AS), mengesahkan komen terdahulu Presiden AS, Donald Trump semasa lawatan ke Asia.
Trump menimbulkan sedikit kekeliruan dengan mengatakan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Toyota, Akio Toyoda, telah memberitahunya tentang rancangan pelaburan itu semasa di Tokyo bulan lalu.
“Mereka akan membelanjakan $10 bilion. Dan membina kilang kereta baharu. Dan mereka akan membinanya di banyak negeri,” kata Trump.
Toyota berdalih dengan komen tersebut apabila ketua kewangan, Kenta Kon berkata minggu lalu bahawa, “sukar untuk mengesahkan ketepatan angka $10 bilion”.
Tetapi hari ini, Toyota mengumumkan ‘pelaburan tambahan’ sebanyak $10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Ini akan menjadikan jumlah pelaburan syarikat di AS kepada hampir AS$60 bilion sejak memulakan operasi di AS hampir 70 tahun yang lalu,” kata satu kenyataan.
Pengumuman itu bertepatan dengan pembukaan kilang pertamanya di AS yang membuat bateri litium-ion untuk kereta elektrik dan hibrid.
Kilang di Carolina Utara itu merupakan, “kemudahan pembuatan Toyota kesebelas di AS, mewakili pelaburan hampir $14 bilion dan mewujudkan sehingga 5,100 pekerjaan baharu,” katanya.
Sebagai pertukaran untuk menurunkan tarif kepada 15 peratus daripada ancaman 25 peratus dan 27.5 peratus untuk kereta Jepun, Tokyo bersetuju pada Julai untuk melabur AS$550 bilion dalam ekonomi AS.
Toyota mengimport kira-kira separuh daripada kenderaan yang dijualnya di AS tahun lepas, kebanyakannya dari Kanada dan Mexico tetapi juga termasuk kira-kira 281,000 kenderaan yang dibuat di Jepun, lapor Bloomberg News. – AFP


