BANGKOK, 21 MEI – Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Thailand dalam rangka lawatan kerja rasmi bermula petang tadi hingga Sabtu, bagi memperkukuh inisiatif tenaga bersih dan pengurusan air mampan.
Lawatan beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, ke Thailand akan memfokuskan kepada kerjasama strategik dalam bidang tenaga baharu, keselamatan tenaga, dan pengurusan sumber air secara mampan.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau dijadualkan mengadakan kunjungan hormat kepada dua rakan sejawatnya iaitu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga serta Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai Pejabat Sumber Air Kebangsaan.
“Kunjungan hormat ini bertujuan membincangkan kerjasama rentas sempadan dalam pembangunan tenaga bersih dan pengurusan air industri, sekali gus memperkukuh diplomasi serantau.
Selain di Bangkok, beliau turut dijadualkan melawat sebuah loji rawatan air dan kitar semula di Daerah Chonburi, untuk menimba pengalaman terbaik dalam inovasi hijau dan pengurusan sumber industri yang cekap.
Beliau juga akan menghadiri majlis ramah mesra bersama komuniti diaspora Malaysia di Bangkok dan menyempurnakan sesi makan malam bersama pihak industri sektor tenaga di Thailand.
Majlis itu bertujuan memperkukuh peluang kolaborasi sektor swasta dalam teknologi hijau dan pelaburan tenaga boleh baharu. – Bernama
