PHNOM PENH, 22 JULAI – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Sok Chenda Sophea akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-57 dan mesyuarat berkaitan di Vientiane, ibu negara Laos, dari Rabu hingga Sabtu, kata Kementerian Luar negara itu dalam satu kenyataan akhbar pada hari ini, lapor Xinhua.
Kehadirannya adalah atas jemputan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos, Saleumxay Kommasith, menurut kenyataan itu.
“Mesyuarat ini menyediakan peluang untuk membincangkan kerja-kerja pembinaan Komuniti ASEAN termasuk pendekatan inovatif untuk meningkatkan kerjasama ASEAN bagi merealisasikan rantau yang lebih terhubung dan berdaya tahan untuk kemakmuran bersama,” katanya.
Semasa di Vientiane, kementerian itu berkata Chenda Sophea juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatnya dari luar negara untuk membincangkan kerjasama yang saling memberi manfaat di bawah kerangka dua hala dan pelbagai hala, tambahnya.
ASEAN terdiri daripada Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam. – Bernama


