BEIJING, 11 JULAI – Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke China selama empat hari berjaya mencapai matlamat dengan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan meningkatkan kesefahaman yang sedia terjalin antara Malaysia dan China.
Beliau, yang mengakhiri lawatan selama empat hari pada hari ini berkata, selain kerjasama dalam bidang politik dan ekonomi, kerajaan Malaysia juga berminat untuk menjalin kerjasama dalam mempelajari teknologi terkini dan kepakaran yang dimiliki republik berkenaan dalam beberapa bidang.
“Saya telah meminta agensi-agensi Malaysia yang berkenaan untuk mengambil tindakan susulan dengan agensi-agensi China yang berkaitan untuk memastikan persetujuan yang dicapai akan terlaksana,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini hari ini. Terdahulu, Dr Wan Azizah melakukan lawatan ke Pusat Pemulihan dan Penyelidikan Masalah Pendengaran dan Percakapan bagi Kanak-Kanak di China. – Bernama
