HAKONE, KANAGAWA, 13 Julai – Perunding daripada baki 11 negara yang menandatangani perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) mula bermesyuarat di sini, semalam, bagi memastikan perjanjian perdagangan bebas itu dapat direalisasikan, lapor agensi berita Jiji Press.
Mesyuarat dua hari itu merupakan mesyuarat kali pertama melibatkan TPP yang diadakan di Jepun. Rundingan terbaharu TPP itu diadakan di bandar peranginan Hakone, Kanagawa, ketika momentum untuk merealisasikan perdagangan bebas semakin memuncak setelah Jepun dan Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan bagi perjanjian perdagangan yang lebih luas minggu lalu.
Menurut sumber, kesemua 11 negara akan mengadakan sidang pleno sehingga Khamis, bertujuan membincangkan isu-isu yang perlu diselesaikan bagi memastikan TPP dapat direalisasikan biarpun tanpa penyertaan Amerika Syarikat (AS) yang mengundurkan diri daripada perjanjian bebas itu Januari lalu.Ketika mesyuarat pada Rabu, beberapa negara mencadangkan langkah-langkah konkrit bertujuan untuk melaksanakan TPP lebih awal. Para perunding mengambil masa membincangkan isu-isu teknikal terutamanya yang berkaitan dengan undang-undang antarabangsa, kata sumber tersebut.
Bagaimanapun, katanya, ada di kalangan negara berkenaan yang menggesa perjanjian mengenai perdagangan dan pelaburan di bawah TPP dikaji semula, namun tidak ada mana-mana negara yang menuntut rundingan semula penghapusan dan pengurangan tarif. – Bernama