Thursday, December 1, 2022
23 C
Brunei

-

Tradisi Inuit bantu belia atasi depresi

IQALUIT, KANADA – Membuang tulang dan memfilet ikan, menyalakan api atau membina sebuah iglu: Di kawasan Artik Kanada, belia Inuit digalakkan berinteraksi dengan budaya mereka dalam satu usaha untuk menghindari depresi teruk dan menyelamatkan nyawa.

Puluhan remaja dan orang muda berkumpul mengelilingi pengajar Alex Flaherty. Mereka tidak mahu terlepas sebarang tunjuk ajar daripada pemburu tradisi itu ketika dia menghiris seekor ikan atau menyalakan api.

“Budaya kami telah banyak berubah dalam tempoh 50 tahun lalu apabila orang tinggal dalam iglu…perubahan berlaku dengan amat pesat dan kami telah kehilangan budaya kami,” beritahunya kepada AFP.

Flaherty menyalahkan perubahan masyarakat atas beberapa penyakit sosial seperti jenayah ganas, penyalahgunaan dadah dan kadar bunuh diri yang tinggi.

Dengan harapan dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi, dia telah membawa ratusan remaja mengembara berjalan kaki, berkhemah dan memburu di kawasan besar tundra sejak tiga tahun lalu.

Remaja Inuit belajar cara-cara memfilet ikan salmon di kem musim panas yang menumpu pada kesihatan mental, di Inuit, Iqaluit, Nunavut, Kanada. – AFP
Remaja Inuit belajar cara memasak salmon di kem musim panas di Iqaluit, Nunavut, Kanada. – AFP
Alex Flahertt, ketua pertubuhan Polar Outfitting, yang menganjur kem untuk remaja menumpu pada kesihatan mental, di Iqaluit. – AFP
Camilla Sehti, pengarah wilayah kesihatan mental untuk kerajaan Nunavot, di Iqaluit. – AFP
Pemandangan di Iqaluit, Nunavut, Kanada. – AFP

Selain berusaha menghidupkan budaya Inuit, program Polar Outfitting yang dibiayai kerajaannya juga berhasrat merangsang kesihatan mental golongan remaja dan mengajar mereka cara-cara menyesuaikan diri terhadap perubahan iklim – di sebuah rantau yang menjadi panas lebih cepat berbanding kawasan lain. Flaherty berkata dia menerima kebanyakan belia berusia 12 hingga 20 tahun, ‘kerana masa itulah gaya hidup mereka mula berubah dan apabila mereka memerlukan bantuan.’

Pada musim panas, mereka mendaki di kawasan berbatu-batan yang terde-dah kepada angin berdekatan bandar teluk Iqaluit yang menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 7,000 penduduk – dan hanya dapat diakses menggunakan kapal terbang.

Mereka juga belajar cara-cara membuat pukat ikan untuk menangkap char Artik dan mengemudi dan bertahan di kawasan persekitaran asli yang belum diterokai namun amat mencabar.

Pada musim sejuk, apabila cahaya matahari hanya bersinar untuk beberapa jam sehari, mereka akan keluar di kawasan ais untuk menangkap ikan dan membina iglu.

Pada usia 22 tahun, Annie Kootoo adalah belia paling tua dalam kelas itu. Mukanya berseri-seri gembira selepas menghabiskan 10 hari di kawasan gersang. “Saya melakukan banyak aktiviti yang jarang saya lakukan, dan ia banyak membantu terutamanya kesihatan mental saya,” ujarnya.

Chris Laisa,14 tahun, juga bersetuju. “Saya rasa hebat,” katanya selepas mengikuti kursus yang dianjurkan.

“Ia menyeronokkan kerana saya belajar cara-cara membuang tulang dan memfilet seekor ikan, bagaimana menyediakannya sebelum dimasak.”

Flaherty, berdiri tidak jauh, menambah bahawa ‘aktiviti bukan hanya mengenai menangkap ikan. Ia mengenai mengisi minda awda hanya dengan menjalankan aktiviti di luar dan berkongsi pengalaman bersama orang lain.”

Di wilayah Nunavut di utara Kanada, di mana umur purata penduduk adalah 28 tahun, orang muda amat terjejas dengan keterasingan hidup dan trauma antara generasi yang dicetuskan oleh dasar jajahan lampau.

Seperti kebanyakan penduduk asli di Kanada, Inuit dihantui kenangan dipaksa menghadiri sekolah kediaman apabila mereka dilucutkan bahasa dan budaya mereka, dan didera oleh guru-guru dan pengetua sekolah.

Di sini kadar bunuh diri adalah jauh lebih tinggi daripada kawasan lain di seluruh negara – 76.6 setiap 100,000 penduduk pada 2020 berbanding dengan 10.1, menurut Statistik Kanada.

Camilla Sehti, ketua kesihatan mental dan perkhidmatan ketagihan kerajaan Nunavut, meneliti senarai panjang apa yang menyumbang kepada krisis, “Terdapat banyak faktor yang mencetus krisis berkenaan.”

Proses penyembuhan, menurutnya, ‘perlu bermula dengan menghubungkan orang kepada budaya mereka.’

“Saya fikir penjajahan memberikan kesan amat besar ke atas wilayah ini dan keupayaan penduduk untuk berinteraksi dengan orang lain,” jelasnya, menerangkan inisiatif kesihatan mental baharu memberi penekanan kepada ‘keluarga, budaya dan komuniti.’

Setelah kehilangan sahabat karibnya dua tahun lalu, Minnie Akeeagok mula menyiarkan amaran di media sosial mengenai depresi dan bunuh diri.

“Semua orang di Nunavut tahu seseorang yang telah bunuh diri atau berdepan isu kesihatan mental. Saya secara peribadi mengenali lebih daripada lima individu berkenaan,” beritahu remaja berusia 18 tahun itu kepada AFP. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China lancar kapal angkasa Shenzhou-15

BEIJING, 30 NOV – China melancarkan kapal angkasa Shenzhou-15 semalam, yang membawa tiga angkasawan ke stesen angkasa lepasnya bagi melengkapkan penghantaran pertama kru China...
- Advertisment -