Tuesday, April 8, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tradisi kiriman kad raya makin dilupakan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Tradisi berbalas kiriman kad hari raya sebagai pengganti diri si pengirim setiap kali menjelang Syawal kini sudah semakin hampir dilupakan sehingga ada generasi masa kini tidak mengetahui akan adanya kad hari raya.
     
    Penggunaan kad hari raya pada masa ini sudah semakin berkurangan dengan adanya aplikasi media sosial yang menjadi pilihan pengguna pada masa ini.
     
    Sebelum wujudnya aplikasi ringkas ini, kad hari raya amat dinantikan oleh penerima kerana ia bukan saja menambah kemeriahan menjelang kedatangan Syawal malah ia juga sebagai tanda pengerat hubungan antara si pengirim dan si penerima.
     
    Jika dilihat pada penghujung tahun 90an, kad hari raya masih saja boleh dilihat sebagai penghias ruang tamu sekali gus menambahkan keceriaan suasana hari raya, tapi secara perlahan-lahan jumlah kad raya yang dipamerkan di dinding ruang tamu berkurangan. 
     
    Dalam temu bual media dengan beberapa individu mengenai sama ada kad hari raya sebagai pengganti diri ini masih relevan pada masa sekarang, masing-masing telah memberikan pandangan mereka.
     
    Dayang Aisy Nur Delaila semasa ditemu bual media. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara koleksi kad raya. – Bernama
    Hajah Kamsiah binti Haji Duraman, 60, berkongsi pendapat bahawa berbalas pengiriman kad hari raya mampu menghidupkan kembali tradisi pemberian kad hari raya kepada keluarga, insan tersayang atau sahabat handai.
     
    “Ini dengan lakaran dan gambar ditambah dengan kata-kata menyentuh hati mampu memberikan kenangan manis buat penerima sekali gus mengimbau kenangan lalu ketika kad hari raya dihantar melalui perkhidmatan pos yang sangat popular,” jelasnya.
     
    Secara tidak langsung, tambah beliau, semua unsur yang ada pada setiap lukisan dapat mengembalikan kenangan manis.
     
    Namun, beliau percaya tradisi pemberian kad hari raya ini masih lagi diamalkan oleh sesetengah orang yang menjadikannya sebagai pilihan pertama untuk pengganti diri dalam menyampaikan rasa kemaafan, keikhlasan dan tanda ingatan.
     
    “Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini tetap meriah malah diserikan dengan kiriman kad hari raya yang membuktikan ia masih relevan,” jelas Awang Ahmad Yasser Ahmad Mujaahid ketika ditemu bual mengenai kad hari raya.
     
    Katanya lagi, “Tradisi menghantar kad hari raya secara fizikal memberikan sentimen yang lebih telus dengan elemen personal yang boleh disimpan sebagai kenangan.
     
    “Namun, dengan kemajuan teknologi, aplikasi seperti WhatsApp telah menjadi platform yang lebih praktikal dan popular untuk mengucapkan Selamat Hari Raya,” jelasnya.
     
    Penggunaan WhatsApp membolehkan kita menghantar ucapan dengan cepat dan mudah, kongsinya, terutama dalam kalangan masyarakat yang jauh di perantauan dan melalui WhatsApp juga membolehkan kita menambah elemen multimedia seperti gambar, video dan suara sekali gus menjadikan ucapan hari raya lebih interaktif dan kreatif.
     
    Selain itu, beliau juga menjelaskan, walaupun kita terus mengikuti perkembangan semasa, kedua-dua bentuk ucapan sama ada kad fizikal atau melalui WhatsApp, masing-masing mempunyai kelebihan masing-masing yang membantu memeriahkan lagi sambutan hari raya kitani.
     
    Sementara temu bual media dengan Dayang Aisy Nur Delaila, 13, pula mengongsikan pengalaman pertama menerima kad hari raya masa waktu sekolah rendah dulu tapi kad hari raya yang diterima daripada kawan-kawan diberikan secara langsung, dan bukan melalui kiriman pos seperti yang biasa dilakukan.
     
    Selain itu, beliau turut menjelaskan jarang berpeluang melihat orang mengirim kad hari raya dan kebanyakan kad hari raya disertakan dengan buah tangan atau hamper, itu pun kad hari raya yang hanya menyatakan ucapan Selamat Hari Raya.
     
    Kebanyakan kad-kad hari raya yang ada pada masa ini biasa-biasa sahaja berbanding kad-kad hari raya tahun 90an seperti yang dimiliki oleh ibu bapanya, jelasnya, yang kelihatan sangat unik dan kreatif terutama kad raya yang bercorak kartun dengan kata-kata yang menghiburkan tapi penuh makna, di samping kad-kad hari raya yang disertakan dengan muzik lagu raya.
     
    Manakala Iman Yusoef, 12, lebih selesa menggunakan ucapan pengganti diri dengan menggunakan aplikasi peranti kerana ianya boleh direka mengikut cita rasa sendiri.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda