Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tradisi kutip cendawan musim luruh kini kembali popular

    POTSDAM, JERMAN – Wolfgang Bivour dengan berhati-hati mengosongkan bakul berisi cendawan segar yang baru dikutip dan menyimpannya di atas tanah yang dipenuhi dengan daun-daun musim luruh yang gugur.

    Cendawan porcini dengan payung berwarna coklat dan bay bolete terletak bersebelahan dengan brittlegill ungu serta armillaria berwarna madu bercampur dengan green death cap yang berbahaya.

    Bivour merupakan salah seorang pakar cendawan yang paling terkenal di Jerman dan beliau telah menerangkan beberapa spesies berbeza yang baru dikutip di sebuah hutan oak dan beech di pinggir Potsdam, timur Jerman.

    Beliau dikelilingi oleh 20 orang yang mendengar dengan teliti, termasuk pelajar universiti, pesara dan pasangan Cina bersama anak perempuan mereka yang berusia 5 tahun.

    Di seluruh Jerman, seni tradisional mengutip cendawan hutan kini semakin popular, dipacu oleh sekatan pandemik koronavirus yang mendorong orang keluar dari apartmen sempit ke hutan, serta populariti gaya hidup vegan yang semakin meningkat.

    Wolfgang Bivour memberi tunjuk ajar kepada pengutip cendawan tentang cara mengutip cendawan dalam sebuah hutan di Jerman. – AP
    Antara cendawan yang dikutip semasa sesi lawatan berkenaan. – AP
    Pengutip cendawan berjalan di hutan untuk mencari cendawan di Potsdam, Jerman. – AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    Minat yang berkembang terhadap penggunaan cendawan perubatan juga memainkan peranan penting.

    Walaupun penduduk luar bandar sudah lama mengutip cendawan, kini penduduk bandar juga mula merasai keseronokannya. Mengutip cendawan pernah menjadi keperluan bagi ramai rakyat Jerman pada tahun-tahun sukar selepas Perang Dunia Kedua, apabila orang menelusuri hutan untuk mencari apa sahaja yang boleh dimakan. Tetapi apabila ekonomi Barat Jerman mula berkembang pada 1950an dan keadaan ekonomi juga bertambah baik di Timur Jerman, ramai telah meninggalkan tradisi ini.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, gambar cendawan telah menjadi tular di media sosial dan hobi yang dahulu dianggap tidak popular kini menjadi satu gaya hidup yang popular.

    LAWATAN MENGUTIP CENDAWAN SANGAT POPULAR

    Bivour, seorang bekas ahli meteorologi berusia 75 tahun, berkata lawatan yang dipimpinnya pada satu hari musim luruh baru-baru ini bukanlah hanya ‘tentang mengisi bakul awda, meskipun ianya memang seronok apabila menemui sesuatu untuk hidangan di meja makan.’

    Sebaliknya, katanya, ia adalah ‘untuk mengajar orang tentang kepentingan cendawan dalam ekosistem dan sudah tentu, tentang kepelbagaian biologi.’

    Bivour kadang kala turut merawat pesakit di hospital berkaitan dengan kes-kes yang disyaki disebabkan oleh keracunan cendawan.

    Beliau juga telah mengadakan lawatan cendawan di kawasan Potsdam, barat daya Berlin, selama lebih lima dekad.

    Apabila ahli kumpulannya menunjukkan cendawan kepadanya, beliau mengenal pasti cendawan tersebut dengan nama Jerman dan kadang-kadang nama Latin mereka.

    Beliau turut menerangkan tentang kuasa penyembuhan atau tahap keracunan cendawan itu dan memberi cadangan tentang cara penyediaan bagi sebahagian daripadanya serta pada masa yang sama mempelajari sejarahnya. Beliau turut mengajak mereka untuk menghidu dan merasai cendawan yang tidak beracun.

    Karin Flegel, seorang pengarah urusan Urania, institusi di Potsdam yang mengatur lawatan Bivour, berkata bahawa kelas beliau sentiasa penuh sebaik sahaja slot dibuka.

    “Kami menyedari minat yang semakin meningkat terhadap cendawan,” katanya.

    Bivour berkata beliau juga menyedari lonjakan minat terhadap hobi lamanya. Beliau mula berkongsi penemuan terbaiknya di Instagram dan Facebook, menulis buku tentang subjek itu, malah menjadi hos podcast popular, Pilz-Podcast.

    Pilz ialah perkataan Jerman untuk cendawan.

    KEBIMBANGAN TERHADAP CENDAWAN BERACUN

    Ramai orang memulakan hobi baharu ini dengan berhati-hati kerana bimbang tersalah kutip dan memakan cendawan beracun.

    Sebagai contoh, meskipun fly agaric yang memiliki payung berwarna merah dengan bintik putih mudah dikenali, namun masyarakat sering keliru dengan green death cap yang amat beracun atau dengan cendawan butang biasa bahkan spesies champignon, yang merupakan cendawan paling banyak dijual di kedai-kedai di seluruh negara.

    Setiap tahun, beberapa orang meninggal dunia selepas memakan cendawan death cap dan kebanyakan yang maut merupakan pendatang dari Timur Tengah yang tidak biasa dengan jenis cendawan tempatan.

    Seorang pelajar universiti berusia 25 tahun dari Berlin, Tim Köster, yang turut menyertai lawatan bersama teman wanitanya berkata, dia tidak pernah mengutip cendawan ketika kecil dan selalunya berpuas hati dengan cendawan butang putih yang dijual di kedai.

    Namun dia juga mahu mencari dan menyediakan sajian porcininya sendiri, dianggap hidangan paling popular antara lebih 14,000 jenis cendawan di Jerman.

    Walaupun porcini sering dihidangkan dalam risotto atau pasta dalam masakan Itali, porcini serta bay bolete di Jerman sering digoreng dalam mentega dan dimakan di atas roti sourdough bakar bersama garam dan lada.

    Ketika Koster berdiri di tengah-tengah dedaun musim luruh berwarna kuning dan merah, dia berkata lawatan itu adalah permulaan yang baik. Tetapi apabila ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk mengutip cendawan sendiri, dia berkata, “Saya belum berani lagi.”

    Sebaliknya, dia berkata akan mempertimbangkan untuk mengutip cendawan dan membawanya kepada pakar untuk memastikan ia boleh dimakan.

    Pakar sering menawarkan pengetahuan mereka pada hujung minggu musim luruh di pasar atau kolej komuniti di mana orang boleh membawa hasil kutipan mereka dan memastikan mereka tidak tersalah kutip cendawan beracun.

    Margit Reimann, seorang wanita berusia 42 tahun yang menyertai lawatan bersama ibunya, berkata dia terkejut mengetahui betapa banyak jenis cendawan yang boleh dimakan.

    Walaupun mempunyai pengetahuan baharu itu, dia merancang untuk tetap menggunakan jenis porcini, butter mushrooms, slippery jacks dan bay bolete apabila pergi ke hutan bersama anak-anaknya dan dia mempelajari bahawa warna dan corak tidak selalu dapat ditentukan dengan jelas. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda