Thursday, December 5, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tradisi lumba kereta lembu versi Formula Satu

    KAMPONG SPEU, 7 APRIL – Penduduk kampung yang menaiki pedati kayu berbendera Kemboja dan ditarik lembu berlumba pada kelajuan tinggi hari ini dalam perlumbaan tahunan untuk melindungi tradisi berkurun-kurun lamanya ketika kebimbangan meningkat berhubung pembangunan yang menjejas kawasan perlumbaan.

    Meskipun cuaca terik, ratusan orang berkerumun untuk melihat 46 pasang lembu mengambil bahagian dalam pertandingan itu, yang berlangsung di padang lapang di wilayah Kampong Speu, barat ibu negeri Phnom Penh.

    Lembu, yang dihiasi dengan topeng atau penutup kepala berwarna-warni, mesti memecut mengelilingi trek tanah sepanjang satu kilometer.

    “Ia adalah versi Formula 1 (F1) kami,” kata penganjur Khat Sokhay kepada AFP.

    “Kami berlumba kereta lembu kerana ia sudah hampir pupus.”

    Perlumbaan kereta lembu di wilayah Kampong Speu di Kemboja, kelmarin. – AFP

    Acara itu diadakan setiap tahun untuk menandakan berakhirnya musim menuai padi dan menyambut Tahun Baharu Khmer pada pertengahan April.

    “Semasa era moden (di tempat lain), mereka berlumba kereta, tetapi kami berlumba kereta lembu supaya warisan nenek moyang kami tidak hilang,” beritahu pemandu kereta, Tang Sreang, 43, kepada AFP.

    Pegawai kebudayaan berkata perlumbaan kereta lembu itu dianjurkan dengan tujuan mengekalkan tradisi yang telah wujud sejak ratusan tahun dahulu untuk generasi akan datang.

    “Ia adalah warisan kita, kita mesti mengekalnya,” kata Sun Meanchey, Pengarah Jabatan Kebudayaan Kampong Speu, kepada AFP.

    Beliau juga menyuarakan kebimbangan bahawa padang untuk perlumbaan seperti itu telah diambil alih oleh rumah dan kilang.

    “Apa yang membimbangkan saya ialah pada masa hadapan apabila negara kita lebih maju, sawah padi akan digantikan dengan kilang,” kata Sun Meanchey.

    Ramai penduduk kampung di Kemboja bergantung kepada lembu untuk membajak sawah mereka dan kereta lembu pernah digunakan secara meluas untuk pengangkutan.

    Namun semakin ramai petani mengamalkan kaedah dan pengangkutan pertanian moden, menimbulkan kebimbangan bahawa cara lama melakukan sesuatu boleh lenyap. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda