Saturday, January 4, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tradisi masakan khas sempena Tahun Baharu

    PARIS – Di seluruh dunia, penduduk sedang bersiap sedia untuk menyambut ketibaan 2025.

    Di beberapa kawasan dunia, tahun baharu juga bermakna mengamalkan tradisi lama untuk membawa makna simbolik kekayaan dan tuah.

    Banyak amalan ini berakar umbi dalam tradisi masakan yang telah diterima dalam budaya tempatan selama berabad-abad.

    Berikut adalah beberapa tradisi makanan istimewa:

    12 ANGGUR, SEPANYOL

    Sementara kita semua mahu tahun baharu kita berjalan lancar, sukar untuk meramalkan dengan tepat apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

    Itulah sebabnya di Sepanyol, terdapat tradisi memakan 12 biji anggur tepat pada tengah malam untuk meraikan serentak dengan 12 bunyi loceng di dataran Puerta de Sol di Madrid (dan membawa tuah untuk 12 bulan akan datang).

    Sajian oliebollen di Belanda. – ANN/The Star
    Penduduk Jepun percaya mi soba melambangkan umur panjang. – ANN/The Star
    Buah delima memberikan tuah di Turkiye. – ANN/The Star
    Ikan hering awet di Poland. – ANN/The Star
    Tradisi memakan 12 biji anggur pada tengah malam merupakan satu kemestian di Sepanyol. – ANN/The Star
    Lentil dengan sosej biasanya dimasak untuk menyambut Tahun baharu di Itali. – ANN/The Star
    Tamales hidangan istimewa Tahun Baharu di Mexico. – ANN/The Star

    Matlamatnya adalah untuk menghabiskan semua 12 anggur sebelum 12 bunyi loceng berakhir, yang bermaksud semua orang perlu makan dengan amat cepat.

    Amalan itu telah tersebar ke kawasan lain di dunia seperti Amerika Latin dan hari ini, terdapat cabaran TikTok yang didedikasikan untuk memakan 12 anggur dalam masa yang ditetapkan.

    OLIEBOLLEN, BELANDA

    Oliebollen secara literal diterjemahkan kepada ‘bebola berminyak’ yang kedengaran agak tidak menarik.

    Tetapi di sebalik nama tersebut, oliebollen telah menjadi sajian wajib pada Malam Tahun Baharu di Belanda.

    Kuih-muih ini sering dibuat di biara dan diagihkan kepada orang miskin. Menurut artikel dalam SBS Food, pada abad ke-19, ia memasuki kamus Belanda sebagai ‘oliebollen’ dan telah dipanggil begitu sejak itu.

    Jadi bagaimana oliebollen dibuat? Ia pada asasnya sangat mudah – yis, air, tepung dan gula dibentuk menjadi bebola, dan kemudian doh digoreng dan disalut dengan gula tepung.

    Kadang-kadang, kismis ditambah ke dalam adunan.

    Oliebollen dimakan pada Tahun Baharu kerana ia melambangkan banyak perkara – bentuk bulat mewakili bulatan penuh dan kesinambungan yang datang dan hidangan keseluruhan mewakili ucapan selamat tinggal kepada masa lalu dan mengalu-alukan yang baharu.

    TOSHIKOSHI SOBA, JEPUN

    Di Jepun, menjelang malam Tahun Baharu, ahli keluarga biasanya berkumpul di depan mangkuk toshikoshi soba (mi soba), yang bermaksud ‘soba rentas tahun.’

    Amalan makan soba untuk menyambut Tahun Baharu bermula sejak zaman Edo (1603 hingga 1867) di Osaka, Jepun.

    Kebanyakan amalan Tahun Baharu dibina berdasarkan kepercayaan karut dan makan mi soba tidak berbeza.

    Penduduk Jepun percaya bahawa panjang mi soba menandakan umur panjang dan keluarga bahagia, manakala kenipisan mi menunjukkan keupayaan untuk menghapus unsur-unsur buruk dari kehidupan seseorang, untuk memulakan tahun baharu dengan semangat positif.

    Hari ini, dianggarkan 65 peratus penduduk Jepun terus makan mi soba untuk menyambut Tahun Baharu.

    DELIMA, TURKIYE

    Di Turkiye, buah delima mempunyai peranan utama dalam mengumumkan ketibaan tahun baharu. Status bintang utama ini tidak perlu diragui di wilayah itu, memandangkan rantau Levant dan Timur Tengah mempunyai sejarah mendalam terhadap buah delima.

    Buah ini dikatakan berasal dari Lembah Indus dan mengembara ke seluruh dunia. Ia dipetik dalam mitologi Yunani dan dalam teks agama purba.

    Di Turkiye, delima adalah buah yang boleh didapati dengan banyak dan ia dijadikan jus, pencuci mulut, malah makanan yang enak.

    Pada malam Tahun Baharu, tradisi yang telah lama wujud adalah menghempas delima ke tanah di kaki pintu depan rumah mereka. Ideanya adalah lebih banyak biji keluar, lebih banyak tuah mengiringi sekeluarga sepanjang tahun.

    KEK VASILOPITA, GREECE

    Tradisi membuat kek vasilopita berakar-umbi dalam budaya Yunani dan telah wujud berabad-abad lamanya.

    Sejarah sekitar vasilopita bermula sejak Saint Basil, seorang tokoh yang dihormati di Greece, terkenal kerana membantu golongan yang kurang bernasib baik.

    Menurut legenda, penduduk menyerahkan harta pusaka mereka untuk membayar cukai dan Saint Basil menemui cara untuk mengembalikan barang-barang mereka dengan membakarnya menjadi roti.

    Kek dibuat menggunakan tepung, susu, gula, telur, mentega, rempah mahleb dan damar.

    Sekeping syiling yang dipanggil ‘flouri’ biasanya disembunyikan di dalam adunan. Kek yang dibakar dilapisi dengan serbuk gula dan nombor tahun baharu.

    Orang Yunani biasanya membakar satu vasilopita untuk Malam Tahun Baharu untuk meraikan bersama rakan-rakan dan sesiapa yang menjumpai flouri dikatakan akan menikmati tahun bertuah.

    LENTIL, ITALI

    Amalan memakan hidangan berasaskan lentil di Itali bermula sejak zaman Rom purba apabila orang saling menghadiahkan ‘scarscella’, dompet kulit yang penuh dengan lentil, dengan idea lentil akan bertukar menjadi dompet penuh syiling emas.

    Semenjak itu, muncul tradisi memakan hidangan berasaskan kacang apabila jam menunjukkan 12 tengah malam. Memandangkan lentil lazimnya kembang apabila dimasak, ideanya adalah kekayaan dan kemakmuran akan berkembang pada tahun akan datang dan semakin banyak lentil yang awda makan, semakin kaya awda!

    Beberapa hidangan berasaskan lentil yang dihidangkan di Itali termasuk lenticchie con cotechino yang secara tradisinya dihidangkan apabila jam menandakan 12 tengah malam pada tahun baharu dan pada asasnya menampilkan sosej buatan sendiri yang dimasak dengan api perlahan dengan lentil dan rempah.

    IKAN HERING AWET, POLAND

    Di Poland dan banyak kawasan Scandinavia termasuk Norway dan Sweden, tidak ada hidangan yang lebih baik untuk mengumumkan ketibaan tahun baharu melainkan ikan hering awet.

    Mengapa hering awet? Adat ini berakar umbi dalam hubungan rapat Poland dengan laut dan sejarah maritimnya yang kaya.

    Hering juga merupakan ikan yang ketersediaannya tidak dapat diramalkan. Satu artikel dalam Serious Eats mendedahkan bahawa dari satu tahun ke tahun berikutnya, hasil tangkapan boleh berubah daripada banyak kepada tiada langsung. Akibatnya, timbul kepercayaan bahawa hering adalah pembawa mesej ramalan kemakmuran.

    TAMALE, MEXICO

    Tamale adalah asas makanan Amerika Latin dan merupakan salah satu makanan tertua di dunia.

    Apakah tamale? Ia pada asasnya sekam jagung lembut yang diisi dengan kacang, keju, daging dan selalunya sos cili. Intinya dibalut dalam doh jagung pekat yang dipanggil masa.

    Ia boleh dimakan macam itu atau dicecah dengan keju atau cili. Di Mexico, tamale adalah makanan ruji untuk Krismas dan juga Tahun Baharu untuk membawa kekayaan dan tuah. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda