TAPAK kakinya telah dipatahkan secara sengaja sebelum dibalut kuat dengan lilitan kain panjang dan tebal ketika usianya empat tahun.
Biarpun sudah lebih sembilan dekad berlalu, Yan Guiru, 95, masih mampu mengimbau kesakitan ditanggung saat kakinya dipatahkan waktu itu.
“Saya tidak boleh meletakkan selimut untuk menutup bahagian kaki yang sejuk pada waktu malam. Kesakitan dirasai umpama meletakkan kaki ke dalam unggun api yang sedang marak,” katanya yang menetap di pinggir Beijing, China.
Wanita warga emas itu memberitahu, selepas beberapa hari berlalu, ikatan kakinya dibuka sebelum disimbah herba atau darah haiwan untuk melembutkannya.
Balutan kain tersebut akan diikat semula dengan lebih ketat dan proses itu dilakukan berulang kali sehingga dia menginjak usia remaja.


Berbeza daripada tapak kaki manusia normal yang lebar dan panjang, kaki Guiru mempunyai bentuk melengkung ke dalam seakan-akan segi tiga atau dikenali sebagai kaki teratai di China.
“Jika saya cuba membuka balutan kaki, saya akan dipukul oleh ahli keluarga. Saya diberitahu, jika mahu kehidupan senang pada masa depan, seorang wanita itu perlu memiliki sepasang kaki yang kecil.
“Pemilik tanah dan petani kaya sering memilih wanita berkaki kecil sebagai pasangan mereka. Lebih kecil, lebih baik,” ujarnya.
Tradisi ikat kaki
Keluarga Guiru, bukan satu-satunya keluarga yang berpegang kepada tradisi menyakitkan itu. Tradisi itu dipercayai bermula pada abad ke-10 ketika pemerintahan Dinasti Song di selatan China. Difahamkan, pemerintah ketika itu, Maharaja Li Yu telah tertarik dengan kecantikan seorang gadis yang mempunyai sepasang kaki kecil ketika membuat persembahan tarian di istana. Sejak itu, golongan wanita yang menetap di istana mula mengikat kaki mereka untuk kelihatan cantik sebelum tradisi tersebut berkembang di seluruh China.
Bagaimanapun, kejatuhan Dinasti Qing telah menjadi petanda terhadap reformasi China yang lebih moden sebelum tradisi itu diharamkan pada tahun 1911. Pengharaman itu berterusan ketika pemerintahan Parti Komunis China, malah Pengasas dan Pengerusinya, Mao Zedong turut mewujudkan satu pasukan khas bagi membanteras tradisi berkenaan pada 1950.
Anggota pasukan ini akan menggeledah setiap rumah dan memaksa wanita-wanita terlibat membuka ikatan kain di kaki mereka. Jika enggan berbuat demikian, mereka akan dimalukan atau identiti mereka akan didedahkan kepada khalayak umum.
Presiden Vollmer Cultural Consultants Inc. dan pakar terkenal dalam kesenian Asia yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, John Vollmer berkata, pada waktu itu, amalan budaya mudah tersebar di China. Ini kerana masyarakatnya mengamalkan ajaran Confucius di mana golongan elit mempengaruhi golongan bawahan. Apabila budaya itu beredar mengikut zaman, tradisi mengikat kaki atau berkaki kecil merupakan satu simbolik terhadap calon isteri yang baik.”Wanita yang mengamalkan tradisi ini dianggap sebagai seorang yang berdisplin, sopan dan tabah. Malah, ia melambangkan status mereka sebagai ciri-ciri isteri dan menantu yang diidam-idamkan.
Projek khas
“Golongan kaya dan petani kaya hanya mahu wanita berkaki kecil sebagai isteri mereka,” katanya. Tambah Vollmer, kaki yang telah dibalut perlu dibersihkan dengan kerap bagi mengelak sebarang jangkitan dan dilakukan tanpa pengetahuan suami kerana ia merupakan rahsia seseorang wanita. “Wanita yang memiliki kaki kecil mempunyai tarikan erotik yang tersendiri. Disebabkan itu, golongan lelaki sentiasa mengimpikan wanita yang mempunyai ciri-ciri berkenaan sebagai pasangan hidup mereka,” ujarnya.
Seorang jurugambar bebas berpangkalan di Hong Kong, Joe Farrell turut berkongsi pengalamannya merakam imej wanita-wanita berkaki kecil di China. Dia tertarik untuk meneroka tradisi itu selepas membaca beberapa buku sejarah ketika berkunjung ke Shanghai pada 2005.
“Ketika menaiki sebuah teksi saya telah berbual-bual dengan pemandunya mengenai tradisi berkaki kecil di China. Lelaki itu memberitahu neneknya merupakan salah seorang yang mengamalkan tradisi tersebut. “Saya terkejut kerana menganggap ia telah pupus. Kami telah melawat neneknya di sebuah perkampungan di Shandong dan episod baharu bermula di situ,” ceritanya ketika diwawancara sebuah media antarabangsa tidak lama dahulu.
Teruja dengan pertemuan pertamanya itu, Farell telah memulakan projek khas bagi mencari dan merakam imej-imej wanita berkaki kecil di seluruh China. Dalam penjelajahan ke sembilan wilayah, wanita yang berasal dari Britain itu telah berjaya menemui seramai 50 wanita berkaki kecil dan kesemuanya berasal dari daerah terpencil di Yunnan dan Shandong.
Pengalamannya itu telah dibukukan menerusi buku foto, Living History: Bound Feet Women of China mengandungi kisah dan potret wanita-wanita ditemuinya yang diterbitkan pada 2014. “Tahun pertama sangat menyakitkan kerana kanak-kanak ini dipaksa berjalan sehingga kaki mereka terpatah dua akibat menampung berat badan mereka. “Selepas itu, kaki mereka akan menjadi kebas dan kesakitan akan hilang beberapa tahun kemudian,” ujarnya.
Farell memberitahu, kebanyakan wanita berkenaan mengikat kaki anak-anak gadis mereka kerana mengikut tradisi dilakukan nenek moyang mereka. “Rata-rata mereka yang saya temui berusia 80 hingga 90 tahun dan saya difahamkan sebahagian besar daripada mereka telah meninggal dunia.
“Apa pun, saya gembira kerana berjaya menemui mereka yang merupakan generasi wanita terakhir di China yang masih mengamalkan tradisi ini,” katanya. – Agensi