ULU MUDA, Malaysia – Dalam keadaan malam yang sangat gelap di kawasan hutan hujan Malaysia, dua orang lelaki kelihatan bertenggek di dahan pokok yang tinggi dengan membawa obor api, yang mana menarik perhatian ribuan lebah yang berada di sarangnya, sambil memberanikan diri menghadapi kawanan lebah demi untuk mendapatkan madu yang begitu berharga.
Mereka yang dikenali sebagai pemburu madu ini berasal dari sekumpulan penduduk kampung yang akan meredah kawasan hutan tebal yang jauh pedalaman setiap tahun untuk mencari madu yang sangat jarang ditemui, tersembunyi disebalik pokok-pokok tualang yang menjulang tinggi.
“Ini adalah satu misi yang sebenar,” kata Abdul Samad Ahmad, 60, yang telah menuai madu dengan cara ini lebih daripada 20 tahun.
“Terdapat banyaknya nutrien dalam kandungan madu ini. Anda boleh menggunakannya sebagai ubat untuk penyakit batuk atau demam.”
Seperti madu manuka New Zealand, juga terkenal dengan kualiti perubatannya, madu tualang Malaysia ini sungguh berharga, boleh mencecah sehingga RM150 (AS$38) sekilogram, jumlah yang begitu besar bagi penduduk miskin dan luar bandar.
Tetapi amalan generasi turun-temurun ini kini menghadapi pelbagai ancaman, dari masalah kemusnahan alam sekitar, jumlah lebah yang semakin berkurangan sehinggalah kurangnya minat di kalangan remaja.
Para pemburu tegar ini tetap bersikap optimis, bagi mereka, tiada yang lebih bermakna daripada memanjat pokok setinggi 250 kaki untuk mendapatkan madu manis yang dibawa oleh lebah, yang berkeliaran bebas di kawasan hutan bunga eksotik.
Musim mendapatkan madu di utara Malaysia, Hutan Ulu Muda, bermula dari bulan Februari sehingga bulan April, apabila lebah madu gergasi tiba dari bahagian lain di Asia untuk membuat sarang di atas pokok-pokok kanopi hutan hujan yang menjulang tinggi.
Dalam pengembaraan baru-baru ini, Abdul Samad bersama dengan enam rakan lainnya telah mengembara jauh ke dalam hutan, menaiki dua buah bot kecil dan berlayar merentasi tasik untuk mencapai pokok tualang tersebut. Mereka kemudian memaku dahan-dahan kayu sehingga menjadi sebuah tangga sementara, menggantikan tangga lama yang dihasilkan pada tahun sebelumnya.
Apabila waktu malam menjelma, dengan memakai pakaian berlapis dan jaket tebal, kumpulan itu akan menyalakan api dengan menggunakan tumbuhan menjalar untuk mencipta obor asap.
Mereka memanjat pokok dan menghempas obor tersebut ke dahan pokok apabila menghampiri sarang lebah berkenaan. Percikan bara api dapat terlihat dari bawah. Sementara rakan lainnya (yang berada di bawah) memanggil lebah-lebah tersebut: “Turunlah, si manis hitam, turunlah.”
Kemudian sekumpulan lebah pun meluru ke luar, mengejar percikan cahaya itu, memberikan pemburu masa yang berharga untuk memotong sarang lebah tersebut dan mengisi baldi mereka dengan potongan sarang lebah.
Sekumpulan lelaki itu melakukan kerja-kerja mereka sepanjang malam, dengan pergerakan yang perlahan di sekitar sarang lebah tersebut. Mereka akan hanya berhenti melakukannya sebelum subuh menjelma, setelah mengumpul 43 kilogram madu.
Pemburu-pemburu berkenaan telah disengat banyak kali namun masih meneruskan pekerjaan mereka. Buat mereka, mereka sudah biasa dengan sengatan itu.
Salah seorang daripada kumpulan itu, Zaini Abdul Hamid, berkata bahawa dia dan rakan-rakannya tidak begitu menyedari tentang sebarang bahaya atau kematian yang disebabkan oleh pekerjaan mereka yang berisiko ini, “namun jika anda berada di tempat yang salah, pada masa yang salah, lebah-lebah tersebut akan menyengat anda sehingga badan anda menjadi bengkak.”
Permintaan bagi madu tualang ini melebihi daripada bekalannya yang begitu terhad. Hasil daripada madu-madu ini akan dibahagikan sama rata, yang mana akan dijual di kampung mereka atau kepada peniaga-peniaga yang berada di luar bandar.
Tiada seorang pun yang menyertai ekspedisi ini berusia di bawah 45 tahun, di mana beberapa orang daripada mereka berusia 60-an dan mereka berkata bahawa golongan muda yang berada di kampung mereka tidak berminat terhadap pemburuan madu ini.
“Mereka tidak berani,” kata Mohamad Khairi Mohamad Arshad, sementara Zaini mengeluh bahawa generasi muda pada masa ini “lebih berminat kepada gajet-gajet mereka, kami meminta mereka untuk ikut kami, mereka tidak berminat.”
Pemburu-pemburu itu berkata bahawa ia adalah suatu pemandangan biasa di mana empat atau lima kumpulan dari sesebuah kampung menuai madu lebah dari pokok tualang pada tahun 1960-an, namun pada hari ini, ia jauh daripada sedikit.
Bilangan lebah di hutan Ulu Muda ini juga kelihatan susut dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan aktiviti pembalakan sering dilaporkan dan ada yang menyalahkan pemusnahan habitat alam semula jadinya.
Masalah ini mungkin dilihat secara global. Para pakar telah memberi amaran untuk sekian lama mengenai penurunan populasi lebah madu di seluruh dunia, menyalahkan perubahan iklim dan penyakit serta pemusnahan habitat.
Tiada kajian komprehensif telah dilakukan terhadap populasi lebah di Ulu Muda, tetapi Makhdzir Mardan, seorang pakar lebah dari Universiti Putra Malaysia, mengatakan bahawa pada ekspedisi hutan yang dijalankan pada tahun 1993, dia telah menemui 128 sarang lebah di atas pokok, sementara kini anda hanya boleh menemuinya sekitar 40 sarang lebah.
Semasa mereka menjejaki jauh ke dalam hutan, pemburu madu tersebut telah meratapi kehilangan habitat lebah ini, terutama bunga yang sering dimakannya.
“Tempat di mana lebah-lebah ini mencari makanan telah beransur hilang,” kata Mohamad Khairi Mohamad Arshad, yang berusia 50 tahun.
“Jika tidak banyak bunga di kawasan ini, maka lebah ini tidak akan datang lagi.” – AFP