COMANESTI – Sebuah bandar kecil di timur laut Romania mungkin tidak kelihatan seperti destinasi pelancongan, tetapi Comanesti adalah tempat menarik perhatian ramai pengunjung dari negara yang jauh seperti Jepun untuk menghabiskan cuti musim sejuk mereka.
Pengunjung datang dari seluruh dunia untuk melihat acara tahunan yang berkembang daripada tradisi lama berusia ribuan tahun di rantau Moldavia. Orang yang memakai kostum beruang lengkap dengan rahang dan kuku berbaris dan menari. Selain itu, mereka juga menggunakan pompom merah gergasi yang ditambahkan pada bulu beruang.
Beberapa beruang dengan berseloroh menggeram atau berpura-pura menyerang penonton.
Festival Beruang Menari bermula pada hari-hari sebelum Krismas dan berakhir dengan kemuncak yang menakjubkan di Comanesti pada setiap 30 Disember.
Kostum kulit beruang yang dipakai oleh penari memiliki berat yang boleh mencecah 50 kilogram. Peserta festival mengatakan sebahagian besar kulit beruang yang digunakan sebagai kostum telah diturunkan dari generasi ke generasi. Mereka menjaga kaedah yang digunakan untuk mengekal bulu dalam keadaan baik dan sedia dipakai pada tahun berikutnya.
Salah satu kumpulan yang lebih terkenal adalah kumpulan beruang Sipoteni yang dinamakan sempena kawasan perumahan di Comanesti di mana pengasasnya, Costel Dascalu, dilahirkan. Ia mempunyai sehingga 120 ahli, beberapa di antaranya mula menyertai kumpulan itu sejak berusia tiga tahun.
“Anak-anak saya, Amalia dan David, sudah menyertai kumpulan,” kata Dascalu, yang berusia lapan tahun apabila pertama kali menari berpakaian seperti beruang ketika Romania masih negara komunis. Pada ketika itu, dia ingat ia adalah persembahan yang kurang menyeronokkan, dengan ‘beruang’ hanya melawat rumah persendirian semasa Krismas.
Penduduk setempat berkata tradisi itu sudah wujud amat lama, apabila masyarakat percaya bahawa haiwan liar dapat mencegah malapetaka daripada menimpa manusia. Oleh itu, beruang yang menari mengunjungi rumah-rumah penduduk dan mengetuk pintu rumah sebagai petanda nasib baik dan kebahagiaan pada tahun baharu.
Semasa mengambil gambar mereka, kumpulan beruang Sipoteni berkongsi dengan The Associated Press beberapa sebab mereka memastikan upacara itu diteruskan.
Memelihara tradisi sudah menjadi satu kelaziman. Tetapi beberapa ahli berkata mereka teruja apabila memakai bulu haiwan, menari mengikut irama gendang dan bersosial dengan orang muda dalam kehidupan sebenar dan bukannya dalam dunia maya. Ramai orang mengatakan mereka merasa seolah-olah mewakili semangat seekor beruang.
“Saya berasa bebas, beruang membebaskan jiwa kita,” kata seorang peserta, Maria, yang menyertai kumpulan Sipoteni ketika berusia lima tahun dan kini berusia 22 tahun. “Saya juga dapat berhubung dengan mendiang bapa saya yang memperkenalkan saya kepada tradisi itu 17 tahun lalu.”
Penduduk gembira kerana tradisi itu terus hidup ketika rantau itu kehilangan sebahagian besar penduduknya bermula pada 1990an, apabila ramai yang pergi mencari pekerjaan di Eropah Barat selepas kejatuhan komunis.
Marian, 35 tahun, kembali setiap tahun dari luar negara untuk menari dengan kumpulan yang disertainya sejak umur enam tahun.
“Saya harap anak-anak kita akan meneruskan adat unik ini selamanya.” – AP