BUDAPEST, 2 JUN – Kapten sebuah kapal persiaran yang berlanggar dengan sebuah kapal yang lebih kecil didakwa semalam berhubung kemalangan di Budapest yang telah membunuh tujuh pelancong Korea Selatan dan mengakibatkan 21 lagi hilang.
Kapal The Mermaid yang membawa kebanyakan pelancong Korea Selatan terbalik dan tenggelam lewat Rabu, beberapa saat selepas berlanggar dengan kapal persiaran Viking Sigyn di laluan sibuk di Danube di tengah Budapest.
Arus kuat telah menghambat usaha mencari mangsa yang hilang, 19 warga Korea Selatan dan dua warga Hungary, menghalang juruselam untuk sampai ke bot yang tenggelam. Kapten Sigyn, warga Ukraine, didakwa semalam, beritahu seorang pegawai mahkamah Budapest kepada AFP, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Kapten berusia 64 tahun itu ditahan pada Khamis lalu untuk disoal kerana ‘membahayakan lalu lintas pengangkutan air sekali gus membawa kepada banyak kematian,’ kata polis.
Peguam kapten, Balazs Toth, berkata mahkamah telah membenarkan ikat jamin, tetapi pendakwa sedang membuat rayuan dan dengan itu anak guamannya masih ditahan.
“Anak guaman saya belum menukar kenyataan yang dibuat sebagai saksi. Dia menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesalahan,” beritahu seorang lagi peguamnya yang lain, Gabor Elo, kepada wartawan selepas perbicaraan.
Berhampiran tapak kemalangan, sebuah kren terapung telah didirikan, serta sebuah jeti kecil untuk digunakan oleh juruselam.
Namun dengan air sungai Danube naik selepas hujan berminggu-minggu lamanya, arus kuat telah merumitkan rancangan untuk menaikkan bangkai kapal dan prospek untuk mencari mana-mana penumpang yang hidup dilihat sebagai amat tipis. – AFP
