Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tragedi kematian tukang sapu Madrid akibat gelombang haba

    MADRID, 9 OKT – Tiga jam selepas syifnya sebagai tukang sapu jalan di Madrid pada petang musim panas dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius Jose Antonio Gonzalez pengsan akibat strok haba. Dia meninggal dunia keesokan harinya di hospital.

    Dengan amaran dari ibu kota Sepanyol tentang gelombang haba, lelaki berusia 60 tahun itu keluar bekerja pada Julai 2022 dengan dua botol air dan botol semburan untuk menyejukkan badan.

    “Dia tahu dia perlu kekal terhidrat. Tetapi hari itu, ia jelas tidak mencukupi,” kata anak lelaki Gonzalez, Miguel Angel kepada AFP.

    Gonzalez baru sahaja memulakan kontrak selama sebulan sebagai tukang sapu jalan. Dia biasanya bekerja pada syif pagi yang lebih sejuk tetapi telah menukar syif untuk membantu rakan sekerja dan bermula pada pukul 2 petang di mana suhu berada pada tahap tertinggi.

    Kematiannya itu menjadi tajuk utama di akhbar Sepanyol mengenai ancaman oleh suhu terik, terutamanya kepada pekerja luar dan yang lebih terdedah.

    Semasa tiba di perkhidmatan kecemasan Madrid di mana Gonzalez rebah, mereka mendapati suhu badannya ialah 41.6 darjah Celsius.

    Mereka meletakkan ais pada leher dan ketiaknya untuk cuba menyejukkannya, menghidratkannya dengan larutan garam dan meletakkannya di bawah selimut hipotermia sebelum membawanya ke hospital, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan Madrid.

    Hati dan buah pinggangnya sudah gagal ketika keluarganya tiba di sisi katilnya dan doktor memberi mereka ‘tiada harapan’, kata Miguel Angel.

    “Belakang badannya berwarna ungu seolah-olah sudah lama terbaring di atas tanah. Dia mempunyai banyak barang di sekelilingnya, seperti perisai ais dan beberapa kipas. Dia berbaring dengan mata tertutup,” katanya.

    Gonzalez meninggal dunia pada 16 Julai 2022. Sijil kematiannya berkata dia mengalami kegagalan organ dalaman akibat suhu badan yang tinggi. Kematiannya diklasifikasikan sebagai kemalangan di tempat kerja.

    “Apabila suhu badan meningkat melebihi 40 darjah Celsius, mekanisme pertahanan dalam badan yang bertindak memerangi haba seperti berpeluh, akan berhenti bekerja,” kata jurucakap Persatuan Pakar Perubatan Am dan Keluarga Sepanyol (SEMG), Lorenzo Armenteros del Olmo, kepada AFP.

    Dalam suhu terik, badan akan menolak darah dengan cepat ke kulit di mana ia boleh membebaskan haba, mengurangkan aliran ke organ dalaman.

    “Ia memberi kesan kepada seluruh badan dan ketika itulah organ mula gagal,” kata Eduard Argudo, doktor rawatan rapi di hospital Vall d’Hebron di Barcelona, ​​sambil menambah rawatan perubatan segera adalah kunci untuk mengelakkan kegagalan organ yang tidak dapat dipulihkan.

    “Kadang-kadang kerosakan organ telah menjadi begitu teruk walaupun apabila kita berjaya mengawal suhu, kita tidak boleh memulihkannya kembali,” katanya kepada AFP.

    “Serangan haba adalah satu insiden kecemasan perubatan dan pesakit ini perlu segera ke rawatan rapi,” tambahnya sambil memberi amaran bahawa ia mempunyai kadar kematian yang tinggi.

    Dengan cuaca panas susulan perubahan iklim yang semakin menjadi-jadi pada tahun akan datang, keadaan bahaya ini nampaknya semakin meningkat.

    Gonzalez pernah mengadu pada Miguel Angel beberapa hari sebelum meninggal dunia, “saya rasa sukar untuk bercakap kerana rasa terlalu panas” semasa terjumpa Gonzalez di stesen kereta api semasa pulang kerja.

    “Apabila dia (Gonzalez) pulang ke rumah, selepas memberi salam, perkara pertama yang dia akan lakukan ialah pergi ke kolam renang untuk menyejukkan badan,” tambah anaknya.

    Kematian Gonzalez menggegarkan warga Sepanyol dan menyebabkan dewan bandaraya Madrid mengambil langkah menghentikan kerja luar semasa gelombang panas serta mengelak bekerja pada waktu paling panas sepanjang hari.

    Miguel Angel menambah bahawa selepas bapanya meninggal dunia, dia pernah terlihat di komputer bahawa bapanya pernah melakukan carian Google: “Apa yang perlu dilakukan mengenai strok haba”. – AFP

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda