ATHENS, 5 OKT – Seorang bapa kepada lelaki yang terbunuh dalam tragedi kereta api terburuk Greece pada tahun 2023 berikrar kelmarin untuk meneruskan mogok laparnya yang telah memasuki hari ke-20 ‘hingga ke akhir’ bagi menuntut jawapan tentang kematian anaknya.
“Saya akan teruskan hingga ke penghujung. Saya akan tetap di sini walaupun saya mati. Saya tidak akan pergi sehingga tuntutan saya dibela… Saya mahu tahu bagaimana anak saya meninggal dunia,” kata Panos Ruci kepada stesen televisyen Mega TV.
Ruci, yang kehilangan anak lelakinya Denis berusia 22 tahun dalam nahas itu, telah mengadakan protes di hadapan bangunan parlimen dan enggan makan sejak 15 September berikutan keputusan pihak pendakwa yang menolak permintaannya untuk menjalankan penggalian semula jasad anaknya.
Doktor yang memantau keadaannya pada Jumaat berkata Ruci telah kehilangan hampir sembilan peratus daripada berat badannya dan kini berisiko tinggi mengalami komplikasi kesihatan yang serius.
Seramai 57 orang, kebanyakannya pelajar muda, terbunuh pada Februari 2023 apabila sebuah kereta api penumpang bertembung dengan kereta api kargo berhampiran Tempe, di tengah Greece, selepas kedua-duanya dibenarkan bergerak di landasan yang sama selama 12 minit.
Tragedi itu mencetuskan mogok besar-besaran dan ratusan tunjuk perasaan di Greece dan luar negara, mengecam kegagalan kerajaan untuk menyiasat kemalangan tersebut dengan sewajarnya.
Tinjauan pendapat menunjukkan majoriti besar rakyat Greece percaya kerajaan cuba menutup bukti mengenai punca nahas tersebut.
Keluarga mangsa pula percaya bukti penting telah hilang apabila lokasi nahas diratakan dengan jentolak tidak lama selepas kejadian.
Siasatan rasmi berakhir pada penghujung Ogos lalu. – AFP


