Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tragedi lombong arang batu Iran ragut 51 nyawa

    TEHRAN, 22 SEPT – Letupan akibat kebocoran gas di sebuah lombong arang batu Iran telah membunuh sekurang-kurangnya 51 orang, kata media kerajaan hari ini, dalam salah satu kemalangan kerja paling banyak menyebabkan kematian di negara itu dalam beberapa tahun.

    “Jumlah pekerja yang maut meningkat kepada 51 orang dalam letupan di lombong Tabas di timur Iran,” lapor agensi berita rasmi IRNA, mengemas kini jumlah kematian sebelum ini sebanyak 30 orang.

    Ia menambah bahawa 20 orang lain cedera.

    Letupan tersebut berlaku kira-kira jam 9 malam (1730 GMT) kelmarin, ketika kira-kira 70 pekerja berada di lokasi kejadian di wilayah Khorasan Selatan, kata IRNA.

    Menurut laporan itu, kebocoran gas metana menyebabkan letupan di dua blok lombong berkenaan, yang dimiliki oleh firma swasta Iran, Madanjoo.

    TV negara menyiarkan rakaman ambulans dan helikopter yang tiba di Tabas bagi membawa mangsa yang cedera ke hospital.

    Rakaman dalam talian yang dibawa oleh IRNA menunjukkan mayat beberapa mangsa, yang memakai pakaian kerja mereka, dibawa keluar dari tapak tersebut menggunakan troli lombong.

    Gabenor Khorasan Selatan, Javad Ghenaat memberitahu TV negara bahawa pasukan penyelamat sedang berusaha untuk mengeluarkan mayat yang masih tinggal.

    ‘Kondensasi gas’ yang jelas di lombong itu dipercayai menjadi punca letupan, kata Menteri Dalam Negeri Iran, Eskandar Momeni, yang sedang menuju ke Tabas. – AFP

    Foto daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Iran ini menunjukkan pelombong dan pegawai polis dilihat di lokasi kejadian di Tabas, kira-kira 540 kilometer tenggara Tehran, Iran, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda