GENEVA, 18 JUN – Dua pasukan keseluruhan serta beberapa pelumba basikal individu menarik diri daripada Jelajah Switzerland kelmarin berikutan kematian pelumba Switzerland, Gino Maeder.
Maeder, yang berlumba untuk pasukan Bahrain Victorious, terjatuh ke dalam gaung pada peringkat akhir menuruni bukit peringkat kelima pada Khamis.
Dia meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya pada hari Jumaat. Dia berumur 26 tahun.
Pasukan Maeder dengan serta-merta menarik diri dan kelmarin mereka turut disertai oleh kelab dari Switzerland, Tudor dan pesaing dari Belgium, Intermarche sebelum ke peringkat ketujuh.
Secara keseluruhannya, 36 pelumba tidak mengambil bahagian dalam peringkat tersebut – perjalanan sejauh 184 kilometer dari Tubach ke Weinfelden. Manakala, mereka yang menyertai peringkat tersebut, senyap selama seminit.

Seekor burung merpati turut dilepaskan sebagai tanda penghormatan.
Penarikan diri tersebut berlaku walaupun pihak penganjur berkata mereka telah memutuskan untuk meneruskan baki perlumbaan selepas berunding dengan pasukan dan keluarga pelumba.
Tudor, bagaimanapun, mengumumkan di Twitter bahawa mereka tidak dapat meneruskan perlumbaan.
“Selepas pertimbangan yang teliti dan perbincangan dengan pelumba dan kakitangan, pasukan kami memutuskan untuk tidak meneruskan perlumbaan Tour de Suisse tahun ini,” tulis Tudor di Twitter.
“Dalam keadaan yang sukar ini, kami merasakan keperluan untuk menghormati perasaan pelumba kami dan menghormati Gino,” tambahnya.
Intermarche turut mengambil langkah yang sama.
“Selepas berunding dengan pelumba dan kakitangan kami, kami telah memutuskan untuk menarik diri daripada Tour of Switzerland,” tulis Intermarche di media sosial.
“Keutamaan kami adalah untuk menghormati kesihatan mental pelumba kami.” – AFP

