ATHENS, 28 FEB – Dua tahun selepas nahas kereta api yang dahsyat di utara Greece, mogok umum dan ratusan demonstrasi yang dirancang telah melumpuhkan negara bagi memperingati ulang tahun tragedi yang menjadi simbol kegagalan institusi.
Mobilisasi besar-besaran yang dipimpin oleh keluarga 57 mangsa yang terkorban itu didorong oleh rasa tidak puas hati rakyat terhadap tindakan kerajaan konservatif yang dianggap tidak mencukupi. Pengkritik kerajaan berpendapat ahli politik perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan yang membawa kepada nahas tersebut, namun setakat ini hanya pegawai kereta api yang didakwa dengan kesalahan jenayah.
Tragedi pada 28 Februari 2023 di Tempe – di mana sebuah kereta api penumpang bertembung dengan kereta api kargo yang datang dari arah bertentangan – merupakan kemalangan kereta api paling buruk dalam sejarah Greece. Perlanggaran yang mengakibatkan kebakaran itu juga mencederakan puluhan orang dan mendedahkan kelemahan dalam infrastruktur pengangkutan negara tersebut.
“Kebenaran sepenuhnya mesti didedahkan, dan mereka yang bertanggungjawab, tidak kira setinggi mana pun kedudukan mereka, mesti dibawa ke muka pengadilan,” kata Yannis Panagopoulos, Presiden Konfederasi Umum Pekerja Greece, kesatuan buruh terbesar negara itu yang menyokong mogok hari ini.
Perkhidmatan penerbangan dan kereta api telah dibatalkan, feri dihentikan dan pengangkutan awam di seluruh negara mengalami gangguan besar. Perniagaan swasta dan perkhidmatan awam turut terjejas, dengan banyak kedai di Athens ditutup, meninggalkan mesej solidariti kepada keluarga mangsa di tingkap depan kedai.
Demonstrasi dijadualkan berlangsung di lebih daripada 300 bandar di Greece dan luar negara, dengan bangunan parlimen di pusat Athens menjadi tumpuan utama. Lebih daripada 5,000 pegawai polis telah dikerahkan di ibu negara untuk mengawal orang ramai dan kemungkinan berlakunya rusuhan.
Upacara peringatan akan diadakan di gereja-gereja Ortodoks di seluruh ibu negara bagi memperingati mangsa, yang kebanyakannya pelajar universiti yang sedang dalam perjalanan pulang selepas cuti hujung minggu yang panjang.
Keluarga mangsa menggesa penunjuk perasaan untuk menumpukan perhatian kepada acara memperingati tragedi tersebut daripada berpolitik. – AP
