BERLIN, 1 JAN – Lima orang maut di beberapa wilayah Jerman, manakala seorang pegawai polis dilaporkan cedera parah akibat kemalangan yang dikaitkan dengan penggunaan bunga api, tradisi rakyat Jerman dalam meraikan tahun baharu, menurut laporan awal pihak polis.
Rakyat Jerman meraikan tahun baharu dengan tradisi penggunaan bunga api secara meluas, yang sering menimbulkan perdebatan berulang mengenai larangan penggunaan peranti berkuasa tinggi tersebut.
Ia berikutan jumlah kecederaan yang tinggi setiap tahun, selain pencemaran dan bunyi bising yang dihasilkan.
Seramai 13 pegawai penguat kuasa dilaporkan cedera akibat kemalangan tahun ini, termasuk seorang yang cedera parah. Sekitar 330 orang telah ditahan di ibu negara Berlin sepanjang malam.
“Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, tiada keganasan atau insiden besar dilaporkan,” menurut kenyataan pihak polis.
Berhampiran Paderborn di wilayah barat laut North Rhine-Westphalia, seorang lelaki berusia 24 tahun maut selepas meletupkan roket bunga api yang dipercayai dibuat sendiri.
Di Oschatz, Saxony, seorang lelaki berusia 45 tahun meninggal dunia akibat kecederaan kepala serius selepas menyalakan “bom piroteknik,” peranti kategori F4 yang memerlukan permit khas untuk pembelian.
Berhampiran Hamburg di utara Jerman, seorang lelaki berusia 20 tahun maut ketika menyalakan bunga api piroteknik.
Akhir sekali, di Kremen berhampiran Berlin, seorang lelaki kelima maut akibat ‘manipulasi yang tidak sesuai’ terhadap bahan piroteknik. Tiga orang lagi di kawasan itu cedera parah dalam keadaan yang sama. – AFP