Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Trajektori EV masih bergerak perlahan

    NEW YORK – Peralihan Amerika Syarikat (AS) kepada kereta elektrik (EV) telah mengalami halangan, dengan kebimbangan mengenai jarak perjalanan kereta dan kapasiti pengecasan yang terhad menambah kepada isu asal tentang kemampuan pemilikan.

    Pengeluar kereta baru-baru ini telah menurunkan sasaran jualan EV dan menangguhkan projek modal yang besar kerana mereka berusaha untuk mengurangkan inventori EV yang tidak terjual di pengedar.

    “Kemerosotan dalam jualan EV jauh lebih ketara berbanding kategori kenderaan lain dan hal tersebut tidak berkait dengan ekonomi,” kata Neil Saunders, pengarah urusan GlobalData.

    “EV mempunyai masalah yang berkaitan dengannya,” katanya. “Ia adalah pembelian yang lebih sukar dan kompleks disebabkan oleh jarak perjalanan kereta dan infrastruktur pengecasan.”

    Pengguna jalan raya AS sudah biasa dengan perjalanan yang selalunya berjarak jauh untuk bercuti atau melawat rakan-rakan dan saudara mara, disebabkan oleh saiz negara yang besar dan pilihan pengangkutan awam yang terhad.

    Musk semasa memperkenalkan Cybertruck di Pusat Reka Bentuk Tesla di Hawthorne, California pada 21 November 2019. – AFP
    Seorang pemandu mengecas EV di stesen pengecasan di Monterey Park, California pada 31 Ogos 2022. – AFP
    Trafik di lebuh raya Los Angeles semasa waktu petang di Alhambra, California pada 12 April lalu. – AFP

    Tetapi setakat ini, rangkaian stesen pengecasan EV masih tidak mencukupi, dengan banyak kawasan sama ada kekurangan infrastruktur atau dilengkapi dengan mesin yang tidak boleh dipercayai.

    JARAK PERJALANAN, HARGA

    Lebih tiga perempat daripada pemandu menganggap EV boleh dipercayai, menurut kaji selidik oleh Persatuan Teknologi Pengguna (CTA), penganjur Pameran Elektronik Pengguna (CES) tahunan di Las Vegas.

    Namun, terdapat juga keraguan yang signifikan dalam kalangan pemandu mengenai EV berkenaan dengan infrastruktur pengecasan yang tidak mencukupi (36 peratus), julat bateri (39 peratus) dan kemampuan memiliki EV (38 peratus).

    Purata harga EV yang dijual pada bulan Oktober adalah AS$51,762, kira-kira AS$13,000 di bawah paras tahun lalu untuk kenderaan tersebut, tetapi hampir AS$4,000 melebihi harga purata semua kenderaan.

    Di Eropah, harga petrol yang melambung tinggi menggalakkan lagi pengguna di sana untuk mengabaikan kos pendahuluan yang tinggi bagi kenderaan tersebut.

    Tetapi ia kurang menjadi faktor di AS, di mana harga petrol hanya kira-kira separuh daripada harga di Perancis atau Britain, menurut Observatoire Catelem 2024.

    Pemimpin industri seperti Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk juga telah memetik peningkatan kos pinjaman sebagai beban selepas beberapa siri kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan sepanjang setahun setengah yang lalu.

    Tesla kekal sebagai pemain dominan dalam pasaran EV, menyumbang lebih daripada 55 peratus daripada 873,000 EV yang dijual dalam 10 bulan pertama 2023, menurut penyelidik industri, Kelley Blue Book.

    Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley meramalkan ‘beberapa halangan’ dalam pasaran AS yang sedang berkembang.

    “Perubahan dinamik dalam pasaran harga, kadar penggunaan, peraturan memaksa kami mengurangkan lagi kos EV kami,” kata Farley bulan lepas.

    KURANGKAN KOS

    Saingan Ford dan syarikat gergasi di Detroit, General Motors (GM) baru-baru ini menangguhkan rancangan sehingga akhir 2025 untuk mengubah kilangnya di Orion, Michigan bagi EV ‘untuk menguruskan pelaburan modal dengan lebih baik sambil menyelaraskan permintaan EV yang berkembang’, kata syarikat itu bulan lepas.

    “Selain itu, kami telah mengenal pasti penambahbaikan kejuruteraan yang akan kami laksanakan untuk meningkatkan keuntungan produk kami,” kata GM.

    Ford dan Tesla juga sedang mencari cara untuk memudahkan proses pembuatan mereka bagi mengurangkan kos.

    “Mengurangkan kos kenderaan kami adalah keutamaan kami,” kata Ketua Pegawai Kewangan Tesla, Vaibhav Taneja.

    Untuk Cybertruck futuristiknya, yang dijangka akan mula dihantar sebelum penghujung 2023, Tesla ‘melakukan segala yang mungkin untuk meringkaskan kenderaan itu’ untuk mencapai kecekapan ‘yang belum pernah berlaku dalam industri automotif’, kata Musk.

    Ford juga telah berikrar untuk mengubahsuai reka bentuk dan pembuatan kenderaannya bagi mengurangkan kerumitan.

    Tetapi hasilnya masih belum terbukti, menurut penganalisis Deutsche Bank, Emmanuel Rosner.

    “Apa yang paling membimbangkan kami ialah pengeluar kereta belum menemui penyelesaian ekonomi untuk membuat EV yang ringkas dan mampu milik,” kata Rosner di CNBC.

    Washington telah menyokong perkembangan EV semasa pentadbiran Joe Biden, meluluskan dana AS$7.5 bilion bagi stesen pengecasan EV dan melanjutkan kredit cukai kepada pengguna sehingga AS$7,500 bagi pembelian kenderaan tersebut.

    Pentadbiran Biden mahu 50 peratus daripada jualan kenderaan datang daripada EV menjelang 2030.

    “Ahli politik mahu ia berlaku dalam sekelip mata, tetapi awda tidak boleh menetapkan matlamat sewenang-wenangnya, awda perlu memastikan infrastruktur yang mencukupi,” kata Saunders dari GlobalData.

    “Trajektori jangka panjang mungkin baik untuk EV,” tetapi ‘ia adalah sesuatu yang bergerak lebih perlahan’, katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...